Undi tolak MB Perak, Bersatu timbang pecat Adun Titi Serong, kata sumber


BERSATU sedang menimbang untuk mengambil tindakan ke atas Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim selepas beliau tidak mengundi menyokong Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu semasa undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak minggu lalu, kata beberapa sumber dalaman parti.

Biro Politik Bersatu yang bermesyuarat beberapa jam selepas sidang DUN Perak pada Jumaat lalu turut membincangkan kedudukan Hasnul, kata mereka.

“Kami mengenal pasti Hasnul sebagai wakil rakyat yang tidak menyokong MB (menteri besar) semasa usul percaya. Beberapa pihak dalam parti berpendapat beliau wajar dipecat kerana sudah beralih sokongan,” kata seorang sumber pimpinan kanan Bersatu kepada The Malaysian Insight.

Seorang lagi sumber mendedahkan Bersatu “serius” menimbang untuk memecat Hasnul, selepas beliau juga dipercayai menandatangani akuan berkanun (SD) mendukung Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Saarani Mohamad sebagai calon menteri besar.

“Sekiranya SD itu ada, Hasnul akan dibuang daripada parti,” kata sumber.

Semakan The Malaysian Insight dengan beberapa sumber mendapati Hasnul menarik balik sokongannya kepada Faizal, yang juga timbalan presiden Bersatu.

Media semalam juga melaporkan seorang Adun Bersatu yang meninggalkan parti lamanya pada Mac lalu semasa sudah menandatangani SD menyokong Saarani sebagai calon menteri besar.

Hasnul, 40, adalah bekas ketua Pemuda Amanah yang keluar parti selepas percaturan politik pada Mac lalu untuk menyokong kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN).

Laporan menyebut Umno ada 26 wakil rakyat yang menyokong Saarani sebagai menteri besar baharu sedangkan parti itu hanya ada 25 wakil rakyat di DUN Perak.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Hasnul namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

Faizal yang diberi kepercayaan semula sebagai menteri kerajaan PN minggu lalu hilang kepercayaan itu selepas 48 Adun tidak menyokongnya, sementara hanya 10 menyokong dan satu undi rosak atau berkecuali.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin pada petang Jumaat merakamkan terima kasih kepada 10 wakil rakyat yang menyokong usul keyakinan terhadap Faizal, termasuk empat Adun Bersatu.

Bersatu bagaimanapun mempunyai lima wakil rakyat di DUN Perak.

Ahmad Faizal Azumu yang diberi kepercayaan semula sebagai menteri kerajaan PN minggu lalu hilang kepercayaan selepas 48 Adun tidak menyokongnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2020.

Selain Faizal yang merupakan calon tunggal Bersatu yang menang Pilihan Raya Umum ke-14, dua Adun Bersatu adalah bekas wakil rakyat Umno yang bertukar parti untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Mereka ialah Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah) dan Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik).

Seorang lagi Adun Bersatu ialah Abdul Yunus Jamhari (Kuala Kurau) yang keluar PKR pada Mac lalu, selepas percaturan politik menjatuhkan kerajaan PH yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Hasnul menyertai Bersatu pada Jun, hampir tiga bulan selepas keluar dari Amanah serentak bersama dua Adun DAP yang juga menarik balik sokongan mereka kepada PH setelah kerajaan Perak bertukar kepada PN.

Seorang lagi sumber Bersatu memberitahu The Malaysian Insight dua bekas Adun DAP kekal menyokong PN selepas perkembangan politik di Perak minggu lalu.

Selepas keluar DAP, Paul Yong Choo Kiong (Tronoh) jadi wakil rakyat bebas sementara A Sivasubramaniam (Buntong) menyertai Gerakan.

Selain empat Adun Bersatu dan dua Adun bekas DAP, semua tiga Adun PAS dan seorang Adun Umno turut menyokong Faizal.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dijadual menghadap Sultan Perak di Ipoh hari ini, dipercayai untuk mempersembahkan nama calon menteri besar untuk perkenan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2020.

Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat malam tadi memutuskan untuk mempertahankan kerajaan Perak yang dibentuk bersama dengan Bersatu dan PAS.

“Mesyuarat memutuskan kerajaan PN negeri Perak yang melibatkan Adun Umno, PAS dan Bersatu perlu dipertahankan,” kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dalam kenyataan ringkas selepas mesyuarat.

Bersatu dalam satu kenyataan yang menyusul tidak lama selepas itu bagaimanapun berkata pendiriannya mengenai pembentukan kerajaan Perak akan dibincangkan dengan PAS sebagai rakan sekutu dalam PN.

“Semua keputusan yang bakal diambil Bersatu berkaitan penubuhan kerajaan negeri Perak yang baharu akan mengambil kira ketetapan bersama rakan-rakan PN terutama PAS yang terlibat secara langsung,” kata Hamzah.

Umno dijangka akan menamakan Saarani, yang juga Adun Kota Tampan, sebagai calon menteri besar Perak.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dijadual menghadap Sultan Perak di Ipoh hari ini, dipercayai untuk mempersembahkan nama calon menteri besar untuk perkenan. – 8 Disember, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen