Hutang dadah punca kes pembunuhan kejam di Johor


Ikhwan Zulkaflee

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, siasatan polis mendapati kejadian mengejutkan itu berlaku disebabkan pertikaian hutang pengedaran dadah antara mangsa dan suspek. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Disember, 2017.

FAKTOR dadah dan hutang adalah motif utama disebalik pembunuhan kejam di sebuah stesyen minyak di Johor Bahru, Ahad lepas. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, siasatan polis mendapati kejadian mengejutkan itu berlaku disebabkan pertikaian hutang pengedaran dadah antara mangsa dan suspek.

“Ini kes yang sangat terpencil yang kejadian berlaku di antara individu itu sendiri mengenai hutang berkaitan pengedaran dadah. 

“Itu yang dapat kita pastikan selepas kita berjaya buat tangkapan awal (pertama) di Pulau Pinang. Hasil tangkapan (dan siasatan) itulah puncanya,” kata Wan Ahmad dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Johor hari ini.

Dalam kejadian sekitar 7.30 malam Ahad lalu, Tan Aik Chai, 44, mati di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi setelah ditikam, dirempuh dan kemudian digilis sebuah kereta dinaiki empat lelaki. Mangsa ketika itu berhenti di stesen tersebut untuk mengisi angin tayar kenderaannya. 

Wan Ahmad turut mengesahkan mendiang bukanlah ketua kongsi gelap seperti didakwa sesetengah pihak. 

Tambahnya lagi, polis turut menahan seorang lagi lelaki berbangsa Cina berusia 22 tahun berhubung kes tersebut, menjadikan jumlah tangkapan seramai 14 orang. Kesemua suspek, 10 lelaki dan empat wanita berbangsa Cina berusia sekitar 16 hingga 26 tahun. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, siasatan polis mendapati kejadian mengejutkan itu berlaku disebabkan pertikaian hutang pengedaran dadah antara mangsa dan suspek. – Gambar Facebook, 22 Disember, 2017.

Dalam pada itu, Wan Ahmad mengucapkan berterima kasih kepada Polis Singapura yang membantu menjejak dan menangkap tujuh suspek di negara tersebut.  

Menurutnya, Bukit Aman telah mengarahkan tiga pasukan khas membantu penyiasatan kes itu, selain menambah beliau yakin kes itu akan selesai dalam masa terdekat.

“Saya dah arahkan tiga pasukan dari Bukit Aman untuk membantu siasatan Polis Johor,” katanya sambil menambah kereta yang digunakan dalam kes tersebut masih belum dijumpai. 

Sebelum ini, polis Johor mengesahkan kereta digunakan dalam kes bunuh itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Ketua Polis Johor Mohd Khalil Kader Mohd berkata pemilik nombor pendaftaran yang digunakan kereta itu berada di Ipoh, Perak ketika kejadian berlaku.

Sementara itu, polis Johor turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu.

“Keterangan telah diambil dari lapan orang termasuk suspek dan saksi di tempat kejadian,” katanya lagi. 

Wan Ahmad turut menambah isteri mangsa, yang juga seorang warga Vietnam, 32, sebagai saksi utama.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata pembunuhan ini dipercayai berpunca daripada perselisihan dua kumpulan kongsi gelap. – 22 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen