Kereta suspek bunuh lelaki di Johor guna nombor pendaftaran palsu


KERETA yang digunakan dalam kes bunuh di sebuah stesyen minyak di Johor Baru menggunakan nombor pendaftaran palsu, kata polis Johor ketika pihak berkuasa menggiatkan usaha untuk mengesan pemilik sebenar kereta itu.

Ketua Polis Johor Mohd Khalil Kader Mohd berkata pemilik nombor pendaftaran yang digunakan kereta itu berada di Ipoh, Perak ketika kejadian yang berlaku malam semalam, lapor akhbar Sin Chew.

Polis juga menafikan khabar angin yang bertiup kencang di media sosial yang suspek kes itu sudah ditahan.

“Isu (kes) masih dalam siasatan. Belum ada tangkapan. Akan dimaklumkan bila ada perkembangan. Maklumat telah ada tangkapan tidak tepat.

Polis menyeru hentikan tular liar yang boleh ganggu siasatan,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Azman Ayub seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Rakaman video yang tular di media sosial sebelum ini mendakwa polis sudah menahan beberapa suspek berkaitan kes itu.

Pada kejadian 7.30 malam semalam, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditikam sebelum dilanggar sebuah kereta oleh sekumpulan lelaki ketika sedang mengisi angin tayar keretanya di sebuah stesyen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor Baru.

Video kejadian yang tersebar mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia. – 18 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen