Polis nafi suspek kes bunuh di Johor ditangkap


POLIS Johor meminta orang ramai menghentikan perbuatan menularkan maklumat kononnya polis telah menahan suspek kes bunuh di Taman Pelangi, di Johor Baru malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Azman Ayob berkata maklumat berhubung tangkapan itu seperti yang ditularkan adalah tidak tepat.

“Isu (kes) masih dalam siasatan. Belum ada tangkapan. Akan dimaklumkan bila ada perkembangan. Maklumat telah ada tangkapan tidak tepat. Polis menyeru hentikan tular liar yang boleh ganggu siasatan,” katanya dalam kenyataan di Johor Baru, hari ini.

Beliau mengulas maklumat yang tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp mendakwa polis sudah menahan suspek kes bunuh itu berserta gambar dipercayai suspek kes itu.

Malam tadi, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mati ditikam dan dilanggar sekumpulan empat lelaki menggunakan sebuah kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi.

Kejadian berlaku kira-kira 7.30 malam ketika mangsa bersama-sama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta di stesen berkenaan. – Bernama, 18 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen