India kerah polis, tentera separa kawal pilihan raya Kashmir


Anggota tentera separa berkawal di tempat pengundian pada pilihan raya di wilayah Kashmir yang ditadbir India. – Gambar AFP, 28 November, 2020.

PULUHAN ribu anggota polis dan separa tentera lengkap bersenjata dikerah berkawal di wilayah Kashmir yang diperintah kerajaan India bagi berdepan kemungkinan serangan puak pemisah.

Tindakan berjaga-jaga itu diambil ketika pengundi di Kashmir yang ditadbir oleh kerajaan India melaksanakan tanggungjawab membuang undi dalam pilihan raya pertama sejak status khas wilayah itu dilucutkan pada tahun lalu.

Menurut pemerhati, hanya sejumlah kecil anggota keselamatan yang berkawal berikutan kebimbangan Covid-19, selain ada kawasan yang diliputi salji.

Proses pengundian akan berlangsung selama lapan hari sehingga 19 Disember ini, dengan proses pengiraan bermula tiga hari kemudian.

Wilayah Himalaya yang turut dituntut oleh Pakistan dikawal ketat sejak parti nasionalis Hindu, Bharatiya Janata (BJP) melucutkan status khas Kashmir dalam perlembagaan pada Ogos tahun lalu.

Sehari sebelum hari pengundian, pihak berkuasa menyekat pemimpin Parti Demokratik Rakyat (PDP), Mehbooba Mufti supaya kekal berada di rumah, bahkan polis turut menghalang wartawan mengikuti sidang media yang dianjurkan.

Mufti antara sebilangan besar pemimpin politik yang ditahan di rumah selama berbulan-bulan.

Kashmir terpisah antara India dan Pakistan ketika mencapai kemerdekaan pada 1947.

Kedua-dua negara menuntut wilayah berkenaan sepenuhnya. – AFP, 28 November, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen