Dr Mahathir gesa warga Kashmir suarakan derita di perhimpunan PBB


Alfian Z.M. Tahir

Bekas perdana menteri Dr Mahathir berkata Majlis Keselamatan PBB tidak akan dapat menyelesaikan konflik tersebut kerana ia dikuasai lima kuasa besar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 Ogos, 2020.

DR Mahathir Mohamad hari ini menggesa warga Kashmir untuk menyuarakan penderitaan bangsa mereka dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti yang dilakukan beliau ketika mengkritik India berhubung krisis tersebut.

Bekas perdana menteri berusia 95 tahun itu berkata Majlis Keselamatan PBB tidak akan dapat menyelesaikan konflik tersebut.

“Kita adalah negara kecil. Satu-satunya perkara yang dapat kita lakukan adalah dengan mengetengahkan perkara ini walaupun ada ancaman dan sekatan. Kita merasakan bahawa ia adalah perkara yang wajar untuk dibahaskan.

“Kita berharap seluruh dunia tidak berdiam diri. Suara majoriti akan sangat jelas dalam menyelesaikan masalah dunia.

“Sekiranya kita membawa perkara ini ke Majlis Keselamatan PBB, anda tidak akan mendapat hasil. Adalah lebih baik rujuk perkara ini Perhimpunan Agung PBB untuk menyuarakan (hal ini).

“Itulah sebabnya Malaysia lebih memilih untuk bersuara di perhimpunan agung dan tidak memilih untuk meletakkan kes di hadapan majlis keselamatan yang dikuasai lima negara besar,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu adalah tetamu kehormat hari ini pada tahun pertama memperingati penutupan India terhadap rakyatnya di wilayah Himalaya.

Tahun lalu, Dr Mahathir mengecam India kerana tindakannya terhadap majoriti penduduk Muslim.

Ulasan beliau berhubung konflik Jammu dan Kashmir - yang menjadi pusat perselisihan antara India dan Pakistan - menimbulkan kemarahan New Delhi, sehingga pengguna media sosial mendesak supaya boikot dilakukan terhadap semua barang Malaysia.

Badan perdagangan sayur-sayuran terkemuka di India, Solvent Extractors ’Association of India menasihatkan anggotanya untuk berhenti membeli minyak sawit dari Malaysia, seruan untuk menghukum negara itu kerana mengkritik India.

Dr Mahathir menjawab kepada wartawan pada sesi parlimen tahun lalu bahawa beliau tidak akan menarik balik kenyataan yang dibuatnya mengenai konflik di Jammu dan Kashmir di PBB.

Bekas perdana menteri itu berkata Kashmir mendapat manfaat daripada resolusi PBB dan negara-negara lain juga harus mematuhinya.

“Yang kami katakan adalah semua negara harus patuh. Bukan hanya India, bukan hanya Pakistan tetapi juga Amerika dan negara-negara lain harus mematuhi ketetapan PBB. Jika tidak, apa gunanya PBB?” katanya kepada pemberita. – 8 Ogos, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen