Jurugambar Masrat Zahra menang Hadiah Peter Mackler


Masrat Zahra melaporkan konflik Kashmir yang sudah membunuh ribuan nyawa. – Gambar Instagram, 25 September, 2020.

JURUGAMBAR wartawan Kashmir Masrat Zahra semalam menerima Hadiah Peter Mackler untuk kewartawanan berani dan beretika, kerana liputannya ke atas wanita yang terjejas disebabkan kemelut berdekad lamanya di Kashmir dipegang India.

“Untuk bekerja dalam industri ini adalah untuk membawa kebenaran,” kata wartawan berusia 26 tahun itu pada satu majlis diadakan secara virtual.

Wilayah pergunungan Himalaya yang majoriti penduduknya Islam itu terbahagi antara India dan Pakistan dan berdekad lamanya terheret konflik yang membunuh ribuan orang, kebanyakannya orang awam.

Kerja Zahra mengalih tumpuan dunia ke atas kesengsaraan wanita wilayah itu yang sering dilupakan dalam negara Asia Selatan dicengkam ideologi patriaki itu.

“Gambar saya mengintai kesukaran harian penduduk Kashmir,” kata wartawan ke-12 penerima Hadiah Peter Mackler, diberikan oleh Global Media Forum dengan kerjasama Agence France Presse dan Reporters Without Borders itu.

“Ia berikan suara kepada mereka yang didiamkan konflik,” katanya lagi.

Disebabkan kerjanya, Zahra hilang kepercayaan sebilangan penduduk Kashmir yang menuduhnya bekerja dengan perisikan India, beliau juga diganggu pihak berkuasa India yang menuduhnya menyebarkan maklumat salah.

Pada Jun lalu, kerajaan Jammu dan Kashmir menubuhkan “Dasar Media Baharu” yang dakwa kumpulan hak membolehkan sekatan dan pendakwaan ke atas wartawan.

Zahra berkata identitinya sebagai wanita Islam juga “memperhebat” kerisauannya ketika bekerja dalam situasi seperti itu, tetapi ia juga yang mendorong beliau bekerja.

Anugerah itu dimulakan pada 2008 untuk mengiktiraf kewartawanan berani dan beretika. Ia untuk mengenang wartawan AFP Peter Mackler yang meninggal dunia kerana serangan jantung tahun itu.

“Masrat Zahra mempamerkan kualiti yang mendiang suami saya, Peter Mackler, suburkan dalam generasi baharu wartawan yang ditemui sepanjang perjalanannya,” kata Catherina Antoine, presiden Global Media Forum Training Group dan pengasas anugerah itu.

“Dedikasi Masrat untuk melaporkan cerita, tanpa mengira risiko, bersama-sama mentalnya yang tidak pernah gentar dan pendekatan kreatif menggunakan apa sahaja medium yang diperolehinya untuk menjadikan dunia sebagai saksi meamudahkan pilihan kami.” – AFP, 25 September, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen