Berdiam isu Kashmir bukan satu pilihan, kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Dr Mahathir berkata beliau tidak akan meminta maaf atas apa yang saya katakan walaupun mengesali ia menjejaskan eksport minyak sawit negara ke India. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 Ogos, 2020.

DR Mahathir berkata beliau mengesali kenyataannya terhadap India pada tahun lepas telah menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara itu.

Bagaimanapun beliau tidak mengesali kerana bersuara tentang isu Kashmir di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lalu kerana baginya, berdiam diri bukan satu pilihan.

“Saya memilih untuk bersuara walaupun sedar tentang risiko dikecam. Bagi saya berdiam diri bukan satu pilihan apabila sebuah negara besar dan berkuasa memaksakan kehendaknya terhadap sebuah negara kecil.

“Apa yang terjadi sejak ucapan saya yang bertengkar di Perhimpunan Agung PBB pada bulan September tahun lalu hanya membuktikan bahawa apa yang saya katakan itu dipandang ringan dan sampai tahap tertentu, dapat dikekang.

“Saya tidak akan meminta maaf atas apa yang saya katakan walaupun saya mengesali ia menjejaskan eksport minyak sawit negara kita ke India.

“Saya tidak tahu jika ia perlu dibayar dengan harga tinggi kerana bersuara terhadap ketidakadilan,” katanya ketika berucap pada majlis memperingati ulang tahun pertama perintah pengurungan dikenakan ke atas Kashmir.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau kini bebas untuk bersuara kerana tidak lagi memegang sebarang jawatan.

“Kini saya bukan lagi perdana menteri, saya boleh bersuara tanpa kekangan dan menyuarakan isu Kashmir tanpa ugutan boikot dan seumpamanya,” katanya.

Dalam sidang Parlimen Oktober tahun lalu, Dr Mahathir yang ketika itu masih merupakan perdana menteri, berkata beliau tidak akan menarik semula kenyataan tentang konflik di Jammu dan Kashmir pada Perhimpunan Agung PBB.

Kenyataan Dr Mahathir berhubung Jammu dan Kashmir mengundang kemarahan New Delhi dan pengguna media sosial di negara itu menggesa agar memboikot semua produk Malaysia.

Dr Mahathir pada ketika itu berkata beliau berpendapat Kahsmir mendapat manfaat daripada resolusi PBB dan negara lain juga patut mematuhi resolusi organisasi itu.

“Apa yang kita katakan ialah semua patut patuh. Bukan India saja, bukan Pakistan saja tetapi Amerika dan negara lain juga patut patuhi resolusi PBB. Kalau tidak, apa gunanya ada PBB,” katanya.  – 8 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen