Dr Mahathir tidak tarik balik kenyataan tentang Jammu dan Kashmir


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak akan menarik balik kenyataannya tentang konflik di Jammu dan Khashmir pada Perhimpunan Agung PBB bulan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak akan menarik balik kenyataannya tentang konflik di Jammu dan Khashmir pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu, meskipun ada laporan menyatakan India mempertimbangkan untuk mengadakan sekatan dagangan.

Dr Mahathir berkata beliau berpendapat Kahsmir mendapat manfaat daripada resolusi PBB dan negara lain juga patut mematuhi resolusi organisasi itu.

“Apa yang kita katakan ialah semua patut patuh. Bukan India saja, bukan Pakistan saja tetapi Amerika dan negara lain juga patut patuhi resolusi PBB. Kalau tidak, apa gunanya ada PBB,” katanya kepada media pada sidang media hari ini.

Komen Dr Mahathir berkenaan Jammu dan Kashmir – wilayah yang sedang bergolak antara India dan Pakistan mencetuskan keberangan India, dengan pengguna media sosial mendesak boikot terhadap semua barangan Malaysia.

#BoycottMalaysia menjadi antara hashtag yang trending di Twitter.

Semalam, badan perdagangan sayuran terkemuka India Solvent Extractors’ Association of India menasihati ahlinya supaya berhenti membeli minyak kelapa sawit dari Malaysia, satu desakan untuk menghukum negara ini kerana mengkritik India.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata beliau tidak bercadang untuk melaporkan India kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada masa ini dan akan mencari cara lain dalam mengendalikan pedagang. – 22 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen