Putrajaya pertimbang isytihar darurat di Bugaya, Gerik untuk tangguh pilihan raya


Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

Putrajaya akan mengisytiharkan darurat di Bugaya dan Gerik jika wujud keperluan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2020.

PUTRAJAYA akan mengisytiharkan perintah darurat di Bugaya dan Gerik jika didapati wujud risiko sama seperti di Batu Sapi, kata Takiyuddin Hassan.

“Darurat akan dicadangkan untuk kerusi DUN Bugaya dan Parlimen Gerik jika Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKM) merasakan ia satu keperluan,” kata menteri undang-undang itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat di Batu Sapi bagi membolehkan SOP Covid-19 dikuatkuasa sepenuhnya di kawasan itu.

“Tambahan pula, hanya 143 daripada 837 pekerja pilihan raya bersedia menjalankan tugas mereka di Batu Sapi,” kata ahli Parlimen Kota Bharu itu pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri, hari ini.

Takiyuddin menjawab soalan Ahmad Maslan (Pontian-BN) sama ada kerajaan akan mengisytiharkan darurat di Bugaya dan Gerik.

Seperti Batu Sapi, pilihan raya kecil akan diadakan di Bugaya dan Gerik sepatutnya pada hujung Januari selepas kematian Adun Bugaya Manis Muka Mohd Dara dan Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman.

Yang Di Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Batu Sapi pada 18 November lalu supaya pilihan raya kecil yang dijadualkan pada 5 Disember boleh ditangguhkan susulan lonjakan jangkitan Covid-19 di Sabah.

“Begitu juga, KKM juga tidak dapat menghantar pegawai mencukupi bagi membantu PRK Batu Sapi yang mempunyai lebih 32,000 orang pengundi,” kata Takiyuddin.

Katanya, kerajaan merasakan perintah darurat di Batu Sapi adalah perlu dan titah Agong tepat pada masanya.

“Memandangkan kerajaan sedang berusaha keras menurunkan lonjakan kes Covid-19, Kabinet meminta perdana menteri menasihati Agong untuk mengisytiharkan darurat di Batu Sapi.

“Perisytiharan itu selaras dengan Perkara 150 (91) Perlembagaan Persekutuan dan bukan tidak demokratik,” katanya lagi.

Beliau kemudiannya menjelaskan walaupun tiada tafsiran bilakah darurat boleh diisytiharkan, wujud kes mahkamah terdahulu yang boleh dijadikan panduan.

Memetik penghakiman kes 1966 antara Stephen Kalong Ningkan melawan Kerajaan Malaysia, Takiyuddin berkata Mahkamah Persekutuan memutuskan yang walaupun darurat dalam perlembagaan didefenisikan perlulah sehingga tahap mengancam keselamatan dan ekonomi negara, maksud sebenar terma darurat lebih luas.

“Makna alamiah (terma) darurat mampu meliputi situasi meluas seperti perang, kebuluran, gempa bumi, banjir, wabak dan kejatuhan kerajaan sivil,” kata Takiyuddin memetik penghakiman mahkamah. – 24 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen