AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Bugaya Manis Muka Mohd Dara meninggal dunia tengah hari ini, selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu malam tadi untuk rawatan buah pinggang.
Berita kematiannya disahkan pegawai Parti Warisan Sabah serta dihebahkan melalui saluran parti di media sosial.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh… inshaallah… Aamiin. Al-Fatihah,” kata mesej di Facebook milik Media Warisan Semporna.
Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking yang juga ahli Parlimen Penampang turut merakamkan ucapan takziah sebelum memulakan perbahasannya atas Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.
Manis Muka memenangi kerusi Bugaya dalam pilihan raya negeri Sabah pada hujung September lalu.
Beliau menang dengan majoriti 6,005 undi dalam pertandingan tujuh penjuru yang disertai calon Perikatan Nasional, PPRS, USNO, PCS dan dua calon bebas.
Manis Muka adalah juga ketua Wanita Warisan di Semporna. Beliau aktif politik sejak 1985 dan pernah menjadi ketua Wanita Umno Bahagian Semporna, sebelum menyertai Warisan. –17 November, 2020.
Komen