Dewan Rakyat maklum SPRM kekosongan kerusi Parlimen Gerik


Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata pihaknya kemuka pemberitahuan kepada SPR berhubung kekosongan kerusi Parlimen Gerik susulan kematian penyandangnya Hasbullah Osman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2020.

DEWAN Rakyat hari ini mengemukakan pemberitahuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Gerik, Perak susulan kematian penyandangnya Hasbullah Osman.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata selaras Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan suruhanjaya tersebut bahawa ada kekosongan.

“Saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat mengemukakan suatu pemberitahuan bertarikh 18 November, 2020 kepada pengerusi SPR bahawa Yang Berhormat Hasbullah Osman, ahli Parlimen Gerik, Perak meninggal dunia pada Isnin, 16 November, 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi pihak Parlimen Malaysia, Azhar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Hasbullah, 63, meninggal dunia di Hospital Raub, Pahang pada Isnin akibat serangan jantung. – Bernama, 18 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen