Putrajaya bayar RM630 juta faedah hutang skandal kerajaan Najib


Kerajaan kini membayara RM630 juta faedah kepada Exim Bank of China untuk hutang skandal pentadbiran Najib Razak berhubung projek saluran paip gas dan minyak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2020.

PUTRAJAYA setakat tahun ini membayar balik RM630 juta faedah kepada Exim Bank of China untuk hutang skandal pentadbiran Najib Razak berhubung projek saluran paip gas dan minyak yang merugikan negara yang dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan kerajaan akan terus membayar RM675 juta lagi pada tahun hadapan, untuk melangsaikan pinjaman RM7.8 bilion yang dibuat oleh Suria Strategic Energy Resources (SSER) untuk melaksanakan projek di Semenanjung dan Sabah. 

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng tahun lalu mendedahkan pinjaman itu adalah bagi tempoh 20 tahun.

Dua projek bernilai RM9.41 bilion itu diklasifikasikan sebagai “fail merah” oleh pentadbiran Najib, yang kemudian dikesan oleh kerajaan PH mengandungi syarat luar biasa yang merugikan kerajaan. 

Lim ketika itu mendedahkan fail merah ini “disorok” dan hanya boleh diakses oleh pihak tertentu di Kementerian Kewangan.

Dua projek itu dibatalkan selepas pentadbiran Dr Mahathir Mohamad mengesan terma yang merugikan kerajaan. Ia susulan kontraknya hampir dibayar penuh oleh Kementerian Kewangan walaupun hanya 13% kerja siap setakat Mac 2018, setahun selepas projek bermula pada April 2017.

“Untuk tahun depan, kerajaan perlu bayar RM675 juta bagi dua bahagian pinjaman.

“Bayaran tahun depan barulah tampung sedikit pinjaman pokok. Setakat sekarang (untuk 2020) masih bayar bunga,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

'Fail merah' pentadbiran Najib Razak hanya hanya boleh diakses oleh pihak tertentu di Kementerian Kewangan, dedah Lim Guan Eng tahun lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2020.

Daripada RM675 juta yang akan dibayar pada tahun depan, RM240 juta adalah faedah dan baki RM435 juta pinjaman pokok, tambah sumber.

Sumber yang maklum mengenai urusan kemudahan pinjaman itu mendedahkan perkara berkenaan dengan syarat tidak dinamakan.

SSER adalah anak syarikat Kementerian Kewangan yang ditubuhkan khusus untuk menjalankan projek yang diluluskan oleh pentadbiran Najib pada 2016. Kontrak itu diberikan kepada China Petroleum Pipeline Engineering Company Ltd (CPPE) dengan syarat antaranya 85% nilai projek perlu dibayar pada 1 Mac 2018.

“Hampir keseluruhan jadual pembayaran bagi kedua-dua kontrak berdasarkan timeline milestone (pencapaian masa) dan bukannya berdasarkan kemajuan kerja yang progresif (progressive work completion milestones),” kata Lim, semasa mendedahkan projek yang mencurigakan itu pada awal Jun 2018.

SSER yang ditubuhkan pada Mei 2016 dipengerusikan oleh Mohamed Irwan Serigar Abdullah, yang juga ketika itu Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Beliau letak jawatan pada Mei 2018, dua minggu selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebulan selepas PH menumbangkan Barisan Nasional, Lim mula membongkar “fail merah” yang ditinggalkan oleh Najib di Kementerian Kewangan.

Najib menafikan projek itu tidak mengikut prosedur, seperti yang didedahkan oleh Lim. Katanya, dua projek itu ada kaitan dengan komitmen China mengimport barangan bernilai AS$2 trilion dari Malaysia untuk tempoh lima tahun. 

Lim bagaimanapun menegaskan dakwaan Najib tidak benar serta tiada dokumen yang menunjukkan demikian.

Dua projek itu ditandatangani oleh Irwan tanpa mengikut proses kerajaan dan nasihat perundangan kerajaan, kata Lim.

Projek pertama Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) melibatkan pembinaan 600km paip petroleum antara Jitra, Melaka dan Port Dickson, dianggarkan bernilai RM5.35 bilion. 

Projek kedua Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) pula melibatkan pembinaan 662km talian paip gas antara Terminal Gas Kimanis dengan Sandakan dan Tawau, dianggarkan bernilai RM4.06 bilion.

Lim turut mendedahkan projek MPP tidak mendapat kelulusan hak daripada Petronas manakala projek TSGP tidak memperolehi tanah yang diperlukan.

Selepas dua projek itu dibatalkan, pentadbiran Dr Mahathir merundingkan pampasan yang perlu dibayar oleh SSER kepada CPPE serta jumlah bayaran yang telah dibuat yang perlu dipulangkan semula oleh syarikat China itu.

Pada April 2019, SSER didenda RM18 juta atas enam kesalahan melibatkan kedua-dua projek melanggar peraturan Bank Negara Malaysia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. – 23 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen