Fail merah sorok kontrak rugikan kerajaan, kata Guan Eng


Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata fail merah ini hanya boleh diakses oleh pihak tertentu di Kementerian Kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2018.

ADA beberapa kontrak dikesan mengandungi syarat-syarat luar biasa yang merugikan kerajaan dibuat oleh pentadbiran Najib Razak sebelum ini, termasuk bayaran yang tidak setimpal dengan kerja-kerja yang siap, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Jelas beliau, syarat bayaran itu ditentukan ikut masa dan bukannya kemajuan kerja, sehingga ada kes kerja siap tidak sampai 15% tetapi bayaran yang dibuat mencecah dua pertiga nilai kontrak.

Katanya, kontrak-kontrak itu ditemui disembunyikan sebagai fail sulit – yang dikenali sebagai fail merah – yang hanya boleh diakses oleh pihak tertentu di Kementerian Kewangan.

“Kita sedang siasat perjanjian-perjanjian yang agak luar biasa ini. Biasanya kalau kerja siap 30 peratus, kita akan bayar 30 peratus. Tetapi ini tidak diamalkan.

“Kerja baru siap 30 peratus tetapi sudah dibayar 70 peratus. Mengapa? Kerana perjanjian dibuat bergantung kepada tempoh masa iaitu pembayaran dibuat setiap enam bulan, tak kira ada buat kerja atau tak buat kerja,” katanya, dalam wawancara dengan Sinar Harian.

Lim berkata, setakat ini pihaknya tidak boleh mengatakan apa yang dilakukan itu salah kerana ia termaktub dalam kontrak, cuma kontrak itu tidak menguntungkan kerajaan.

“Kita akan siasat dan tanya mengapa mereka buat kontrak macam ini yang tidak memihak kepada kepentingan negara. Itulah yang kita kena siasat,” katanya.

Lim sebelum ini mendedahkan kewujudan “fail merah” tersebut dalam sidang media pertamanya pada 22 Mei lepas, yang hanya boleh diakses oleh pegawai kanan kerajaan tertentu dan tidak boleh disemak oleh auditor dan penyemak lain.

Kewujudan fail merah itu dibangkitkan oleh pegawai-pegawai kanan Perbendaharaan dalam mesyuarat mereka dengan Lim, selepas beliau memulakan tugas sebagai menteri kewangan.

Menurut Lim, pada mesyuarat pertamanya itu beliau diberi taklimat oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Siti Zauyah Mod Desa dan Ketua Audit Negara Madihah Mohamad mengenai kedudukan semasa kewangan negara.

Mereka juga memaklumkan kepada halangan yang ada untuk mengakses akaun dan laporan tertentu.

Fail merah itu turut mengandungi laporan 1Malaysian Develoment Berhad (1MDB), termasuk bukti bahawa hutang syarikat pelaburan itu dibayar oleh kerajaan dan bukan oleh syarikat itu sendiri.

Lim sebelum ini mendedahkan kerajaan membayar sehingga RM7 bilion bagi pihak 1MDB dan dijadualkan terpaksa membayar RM38 bilion lagi sehingga 2039, tidak termasuk faedah.

“Bayangkan sekiranya wang ini boleh dilaburkan digunakan untuk rakyat. Bukankah kita boleh menyelesaikan sebahagian besar masalah kita, tapi ternyata skandal 1MDB ini telah memberi impak negatif ke atas keadaan ekonomi kita.

“Tolong bayangkan sekiranya wang ini boleh dilaburkan digunakan untuk rakyat, bukankah kita boleh menyelesaikan sebahagian besar masalah kita, tapi semua kerana rasuah ia telah diambil keluar dan ini mempunyai impak negatif yang besar ke atas keadaan ekonomi kita.

“Saya berterus terang soal ini, sebab itu kita terpaksa ambil langkah-langkah bagi mengurangkan impak negatif tersebut,” tegas beliau. – 2 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen