SSER, peneraju projek saluran paip didenda RM18 juta gagal patuh syarat BNM 


SURIA Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), anak syarikat milik Kementerian Kewangan, yang mengendalikan dua projek saluran paip bernilai RM9.4 bilion didenda RM18 juta oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini kerana gagal mematuhi syarat Bank Negara Malaysia (BNM). 

Syarat itu antaranya SSER telah mengeluarkan dana pinjaman daripada The Export-Import Bank of China tidak berdasarkan kemajuan projek Multi-Product Pipeline (MPP) danTrans-Sabah Gas Pipeline (TSGP), dan membayar RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada kos pembinaan RM9.4 bilion bagi kedua-dua projek itu kepada kontraktor China Petroleum Pipeline Engineering Co Ltd (CPP) walaupun kemajuan kerja hanya 13 peratus. 

Hakim Manira Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu ke atas SSER, yang diwakili Kishan Narendra Jasani selepas lelaki itu mengaku bersalah atas enam pertuduhan bagi pihak syarikat selaku Orang Kena Saman (OKS), dan semasa ditanya hakim apa jawatannya dalam syarikat itu, Kishan Narendra berkata beliau hanya wakil kepada syarikat itu.

Dalam penghakimannya Manira berkata kesalahan yang dilakukan SSER boleh memberi kesan negatif kepada kepentingan awam dan ekonomi negara dan hukuman adalah bagi memberi pengajaran kepada SSER dan syarikat lain agar tidak melakukan kesalahan sama.

SSER didenda RM3 juta bagi setiap pertuduhan dengan jumlah denda keseluruhan RM18 juta.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, SSER didakwa gagal mematuhi syarat yang dikenakan di bawah kelulusan bertulis bertarikh 13 April 2017 yang diberikan oleh BNM di bawah Subseksyen 214(2) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 bagi memperoleh pinjaman mata wang asing daripada bukan pemastautin, yang mana SSER telah mengeluarkan dana pinjaman daripada The Export-Import Bank of China tidak berdasarkan kemajuan projek Multi-Product Pipeline (MPP).

SSER juga gagal memastikan amalan tadbir urus yang baik dan efektif bagi pengurusan pelaksanaan projek MPP serta gagal memperoleh kelulusan bertulis daripada BNM bagi perubahan maklumat berkaitan garis masa pelaksanaan projek MPP.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, SSER didakwa atas pertuduhan sama iaitu gagal mematuhi syarat BNM yang mana telah mengeluarkan dana pinjaman daripada The Export-Import Bank of China tidak berdasarkan kemajuan projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) serta gagal memastikan amalan tadbir urus yang baik dan efektif bagi pengurusan pelaksanaan projek TSGP dan gagal memperoleh kelulusan bertulis daripada BNM bagi perubahan maklumat berkaitan garis masa (timeline) pelaksanaan projek TSGP.

Kesemua pertuduhan dilakukan di tingkat 9, Menara 1 Dutamas, Solaris Dutamas, No 1, Jalan Dutamas 1, di sini antara April 2017 dan Mei 2018 mengikut Subseksyen 214(9) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya.

Peguam Lawrence Tan Kim Kai memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minima dengan alasan syarikat itu pertama kali didakwa di mahkamah dan syarikat itu kini dikendalikan pihak pengurusan baharu.

Pegawai Pendakwa BNM Nurdeenie Abdul Rashid memohon syarikat SSER dijatuhi hukuman setimpal mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius apabila melanggar syarat yang dikenakan BNM yang boleh menjejaskan kedudukan imbangan pembayaran Malaysia, menjejaskan status Malaysia sebagai negara ‘solvent’ serta menjatuhkan nilai mata wang ringgit berbanding mata wang lain di dunia.

“SSER adalah sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan (diperbadankan), kerajaan Malaysia telah melantik SSER sebagai pemilik dan peneraju dalam melaksanakan projek TSGP dan projek MPP.

“Tanggungjawab melaksanakan projek telah diamanahkan oleh rakyat Malaysia memandangkan pembayaran hutang projek itu akan menggunakan hasil negara, tetapi SSER gagal melaksanakan amanah malah bertindak tanpa mengambil kira kepentingan rakyat apabila membayar sejumlah besar kepada kontraktor China Petroleum Pipeline Engineering Co Ltd (CPP) sedangkan projek belum dapat dilihat langsung,” katanya.

MPP membabitkan projek saluran paip petroleum pelbagai produk sepanjang 600 kilometer yang menghubungkan Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan ke Jitra, Kedah, dengan kos 4.53 bilion yuan dan RM2.53 bilion atau kira-kira RM5.35 bilion.

TSGP pula adalah pembinaan saluran paip gas 662 kilometer dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau, Sabah, dengan kos 3.08 bilion yuan dan RM2.14 bilion atau kira-kira RM4.06 bilion.

Pada 22 Julai 2016, SSER mendapat kelulusan Kabinet untuk melaksanakan kedua-dua projek bernilai RM9.4 bilion itu dan diberikan kepada Biro Saluran Paip Petroleum China (CPPB) pada 1 November 2016.

SSER telah membuat bayaran RM8.3 bilion atau 88 peratus daripada kos pembinaan RM9.4 bilion meskipun kemajuan kerja (yang belum diaudit) dianggarkan pada tahap 13 peratus.

Kedua-dua projek TSGP dan MPP antara SSER dan CPP telah ditamatkan oleh kerajaan Malaysia berkuatkuasa 6 September 2018. – Bernama, 5 April, 2019 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen