Pekerja asing bukan haiwan, kata Tenaganita


Aminah Farid

Pengarah Urusan Tenaganita Glorene A. Das mempersoalkan usaha kerajaan melabel pekerja asing mengingatkan semula perbuatan Parti Nazi Jerman terhadap 'orang asing.' – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2020.

CADANGAN Putrajaya untuk mewajibkan pekerja asing memakai gelang tangan bagi mengenal pasti dan mengesan mereka adalah jelas satu usaha untuk jadikan pekerja asing sebagai ‘penjenayah’, kata Tenaganita.

Pengarah eksekutif Tenaganita, Glorene Das berkata, tindakan kerajaan itu tidak boleh diterima.

“Budaya kekerasan apa yang kita mahu pupuk?” tanya beliau.

Rabu lalu, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa gelang tersebut akan memudahkan kerajaan mengenal pasti pekerja asing dan memantau pergerakan mereka.

Glorene bagaimanapun membantah dan berkata tidak sepatutnya wujud diskriminasi terhadap sekumpulan pekerja asing yang menyumbang kepada negara melalui tenaga kerja, levi, dan kemahiran mereka.

“Mereka bukan penjenayah atau binatang yang perlu ditag,” katanya.

Pada hari Khamis, Lawyers for Liberty (LFL) turut mengecam cadangan kerajaan tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah untuk “menghalalkan pemprofilan yang prejudis.”

LFL berkata bahawa cadangan yang itu pada dasarnya menunjukkan kerajaan ketika ini sedang membenarkan pemprofilan prejudis dengan alasan memerangi wabak Covid-19.

Glorene berkata bahawa tag pengenalan secara paksa terhadap segmen penduduk tertentu mengimbas sejarah kezaliman Parti Nazi Jerman terhadap segmen warga di negara tersebut.

“Ini boleh mengakibatkan gangguan dan digunakan bukan hanya oleh pihak berkuasa tetapi juga oleh orang awam yang menyerang pekerja asing dengan ganas kerana salah faham berhubung wabak itu,” kata Glorene.

“Adakah kita sedang mula guna sistem “orang buangan” yang memakai gelang di negara ini? Mengapa kita perlu meletak stigma kepada mereka dalam suasana lingkungan yang kini sudah menunjukkan permusuhan?” tanya beliau lagi.

Pada bulan Mei, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata dalam sebuah laporan bahawa terdapat kes pekerja asing diberhentikan secara tidak adil atau tidak dibayar ketika PKP dijalankan di seluruh negara Malaysia pada bulan Mac.

Sementara itu, lebih dari 1,000 pendatang tanpa izin atau tidak sah - yang bekerja dengan perniagaan yang tidak berdaftar - ditangkap pada bulan Mei ketika pihak berkuasa melakukan serbuan semasa PKP.

Pekerja-pekerja dari luar negara itu ditempatkan di pusat tahanan yang sesak dan kemudian menjadi tempat penularan Covid-19.

Malaysia menempatkan sekurang-kurangnya dua juta pekerja asing merangkumi sekitar 15% daripada jumlah tenaga kerja dalam negara. – 21 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen