RM85.5 juta untuk Jasa tak masuk akal, kata penganalisis


Zaim Ibrahim

Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research Dr Rais Hussin Mohamed Ariff yang berkata peruntukan itu tidak perlu kerana kerajaan sudahpun mempunyai pelbagai saluran komunikasi strategik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2020.

PERUNTUKAN RM85.5 juta dalam Belanjawan 2021 untuk menghidupkan semula unit propaganda kerajaan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) terlalu besar dan tidak masuk akal, kata penganalisis.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, peruntukan itu sepatutnya digunakan untuk mengatasi pengangguran atau kepada petugas barisan hadapan yang berusaha menangani pandemik Covid-19.

Antaranya Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research Dr Rais Hussin Mohamed Ariff yang berkata peruntukan itu tidak perlu kerana kerajaan sudahpun mempunyai pelbagai saluran komunikasi strategik.

“Jika kerajaan menghadapi masalah komunikasi dan menyampaikan naratif secara strategik, kerajaan boleh guna pelbagai saluran sedia ada.

“Kita ada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM), Rancangan Televisyen dan Radio (RTM), dan pelbagai saluran lain. Saya rasa lebih berhemah jika (guna) saluran yang ada.

“Peruntukan RM85.5 juta tak masuk akal dan rakyat tidak akan gembira dengan belanjawan itu,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Rais juga berkata, kewajaran untuk membelanjakan wang sebanyak itu juga sukar difahami kerana kerajaan sepatutnya memfokuskan kepada komunikasi yang strategik.

“Tambah baik kandungan dan naratif dalam penyampaian. Apabila satu kandungan sudah terbina, kita boleh sebarkan melalui media arus perdana dan alternatif.

“Kenapa kerajaan perlukan RM85.5 juta? Sepatutnya perbelanjaan lebih berhemah dan berhati-hati, ini duit rakyat… Ia datang dengan amanah,” jelas beliau.

Jasa dihidupkan semula kerana populariti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merudum, kata penganalisis politik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2020.

Tambahnya, dana itu lebih baik digunakan untuk bantu golongan barisan hadapan dan pekerja yang terjejas akibat Covid-19.

“Lebih baik dana itu disalurkan kepada barisan hadapan yang bekerja keras untuk rakyat. Atau pun bantu peniaga-peniaga mikro yang sedang bergelut hadapi wabak Covid-19.

“Kita ada isu pengangguran dalam kalangan belia, bukankah lebih baik dana itu guna untuk pulihkan masalah ini?” soal beliau.

Ketua Penyelidik Ilham Centre Dr Mohd Yusri Ibrahim pula berpandangan Perikatan Nasional (PN) berhasrat untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai kerajaan dengan cara sama seperti dilakukan Barisan Nasional (BN).

“Semasa kerajaan Barisan Nasional dulu, Jasa memang digunakan untuk kerja-kerja propaganda mengukuhkan kedudukan BN sebagai parti pemerintah.

“Mungkin PN juga merancang untuk menggunakan strategi yang sama,” jelasnya.

Namun bagi beliau, peruntukan itu terlalu besar, malah jauh lebih tinggi daripada jumlah yang pernah diperuntukkan semasa pentadbiran BN.

“Dalam situasi ekonomi sekarang, peruntukan itu terlalu besar untuk unit sekecil Jasa. Apatah lagi ada agensi lain dengan saiz organisasi lebih besar mendapat peruntukan lebih kecil,” jelasnya.

Seorang lagi penganalisis, Awang Azman Awang Pawi pula beranggapan, Jasa dihidupkan semula kerana populariti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merudum.

Pensyarah Universiti Malaya itu berkata beliau yakin dana itu akan dimanfaatkan oleh PN untuk menaikkan imej dan menangkis kritikan terhadap kerajaan.

“Ini dilakukan dengan banyak promosi dan publisiti di media sosial dan pembiayaan portal untuk menaikkan nama parti dan pemimpin politik PN.

“Ia juga menjadi mekanisme untuk menangkis kritikan terhadap PN dan memberi imej baik kepada kerajaan PN yang kini berdepan dengan krisis majoriti tipis yang boleh tumbang bila-bila masa.”

Namun, dana sebanyak itu adalah tidak wajar dan ia sepatutnya diperluaskan untuk inisiatif lain dalam Belanjawan 2021.

“Sewajarnya peruntukan RM85 juta untuk Jasa wajar dikurangkan lebih daripada separuh memandangkan waktu kita berdepan pandemik Covid-19.

“Lebih baik disalurkan kepada bantuan kemanusiaan contohnya di Sabah yang sedang dilanda krisis kemanusiaan teruk akibat Covid 19,” tambah pensyarah pengajian Melayu itu.

Pensyarah politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff pula memuji tindakan PN kerana melihat kepentingannya dalam mempertahan dasar kerajaan.

Ia dapat dilihat ketika Pakatan Harapan (PH) tewas beberapa kali dalam siri pilihan raya kecil selepas 2018, pemimpin PH akan merungut mengenai kegagalan menonjolkan kejayaan sebagai kerajaan.

Peruntukan RM85.5 juta itu diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat.

Senarai anggaran perbelanjaan persekutuan bagi Belanjawan 2021 menyaksikan dua peruntukan untuk unit di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Ia termasuk RM4 juta di bawah belanjawan komunikasi strategik dan tambahan RM81.5 juta diperuntukkan untuk dasar-dasar baharu kerajaan.

Jabatan itu sering menyerang pembangkang PH tetapi dimansuhkan pada 2018 apabila gabungan parti itu berjaya membentuk kerajaan dengan dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

Ia termasuk langkah penamatan kontrak lebih sepertiga daripada 17,942 pegawai lantikan politik yang mendapat jawatan bawah pentadbiran terdahulu bawah Najib Razak.

Ia membabitkan kira-kira 800 kakitangan Jasa yang diketuai pemimpin Umno waktu itu sebagai pengarah, Tun Faisal Ismail Aziz. – 8 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Wakil2 Rakyat yang waras dari dua pihak di Parlimen patut bangkitkan peruntukan tersebut semasa perbahasan dan tolak keseluruhan bajet 2021. Ada agenda tersirat dan sebenarnya the 'end-game'.

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Anwar Ismail · Ulasan

    • ..dan apa sebenarnya the 'end game'

      Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Anwar Ismail · Ulasan