Unit propaganda Jasa hidup semula dengan peruntukan RM85.5 juta


Pentadbiran Muhyiddin memperuntukkan RM85.55 juta bagi 52 kakitangan yang bekerja di Jasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2020.

KERAJAAN Perikatan Nasional menghidupkan semula unit propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dengan peruntukan besar sebanyak RM85.5 juta di bawah Belanjawan 2021 yang dibentang hari ini.

Unit ini ditubuhkan semula selepas dibubarkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018.

Senarai anggaran perbelanjaan persekutuan bagi Belanjawan 2021 menyaksikan dua peruntukan untuk unit di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Yang pertama adalah RM4 juta di bawah belanjawan komunikasi strategik dan tambahan RM81.5 juta diperuntukkan di bawah dasar-dasar baharu kerajaan.

Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib Razak sebelum ini bergantung dengan unit ini bagi tujuan propaganda.

Unit ini hari ini diumumkan bakal menerima peruntukan sebanyak RM30 juta oleh kerajaan BN ketika Belanjawan 2018.

Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi berkata bahawa unit propaganda itu akan mempunyai 52 jawatan dalam anggaran perbelanjaannya, berbanding 272 pada tahun 2018.

“Mengenai Jasa, Belanjawan 2018 di bawah BN dahulu adalah RM30 juta untuk 272 kakitangannya. Di bawah menteri PN Saifuddin Abdullah, Belanjawan 2021 untuk Jasa adalah RM85.55 juta bagi 52 kakitangan yang bekerja,” kata ahli parlimen DAP itu di media sosialnya.

Beliau turut menyelar tujuan Jasa dihidupkan semula, menyifatkan bahwa ia akan digunakan untuk “mengintip” rakyat.

“Saya tertanya-tanya mengenai penyedia perkhidmatan yang akan digunakan oleh Jasa yang baharu ini. Tolong cadangkan alat mendengar media sosial yang anda gunakan,” katanya dalam sebuah hantaran Twitter.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada menteri komunikasi dan multimedia Saifuddin Abdullah kerana mewujudkan “pekerjaan dengan gaji tinggi di bawah JASA berbanding ketika pentadbiran BN.”

“Saya harap skop kerja unit itu menggunakan teknologi tinggi dengan IR4.0 kerana jumlah peruntukan untuk perkhidmatan & penawaran cukup tinggi,” tambahnya. – 6 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen