Pakatan merungut tewas PRK lepas mansuh Jasa, kata pensyarah


Kamarul Yusoff pertahan kepentingan unit propaganda itu untuk promosi dasar kerajaan. – Gambar ihsan Facebook rasmi Azmin Ali, 7 November, 2020.

USAHA kerajaan Muhyiddin Yassin menghidupkan semula unit propaganda Jasa dipuji seorang pensyarah Kamarul Yusoff yang melihat kepentingannya dalam mempertahan dasar kerajaan.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia itu berkata kepentingan itu dapat dilihat apabila Pakatan Harapan (PH) tewas dalam pilihan raya kecil selepas memansuhkan jabatan itu sejak 2018.

Ini kerana pemimpin berkenaan akan merungut mengenai kegagalan menonjolkan kejayaan sebagai kerajaan apabila kalah teruk dalam pilihan raya kecil, kata Kamarul.

Oleh itu, langkah kerajaan menghidupkan semula Jasa dianggapnya sebagai usaha yang baik oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Kamarul.

“... Mungkin (PN) telah belajar daripada kesilapan kerajaan Pakatan Harapan sebelumnya yang tergesa-gesa menghapuskan terus Jasa semata-mata kerana ia adalah legasi Barisan Nasional,” katanya.

Beliau memberi contoh keluhan pemimpin PH yang mengaitkan kekalahan dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai dengan kegagalan mempromosi kejayaan pentadbiran kerajaan waktu itu.

Keputusan itu mengejutkan ramai pemimpin PH waktu itu, kata Kamarul yang mengutip kenyataan beberapa menteri kerajaan waktu itu, termasuk menteri hal ehwal perumahan Zuraida Kamaruddin.

Kenyataan Zuraida itu menyebut kerajaan perlu mempergiat promosi dasar kerajaan.

“PH perlu mengambil iktibar atas kekalahan tersebut dan segera memantapkan penyebaran maklumat berkaitan dasar kerajaan kepada rakyat,” kata Zuraida seperti dipetik Kamarul.

Perkara sama dinyatakan seorang lagi menteri PH waktu itu, Salahuddin Ayub, seperti dipetik Kamarul.

“Saya dapati isu paling besar sepanjang berkempen di sana adalah komunikasi tak sampai dan banyak cerita kejayaan PH tidak dapat ditonjolkan,” katanya.

Gesaan untuk bertindak mempertingkat komunikasi itu juga dinyatakan seorang pemimpin DAP Zairil Khir Johari, kata Kamarul.

“Untuk PH, kekalahan ini boleh dengan mudahnya berpusar di luar kawalan jika pakatan ini tidak bertindak, khususnya dalam aspek komunikasi dan maklumat,” kata Zairil dalam kenyataan yang dipetik olehnya.

Namun Kamarul tidak sepenuhnya bersetuju dengan peruntukan RM85.5 juta untuk Jasa yang menjadi kontroversi sejak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 semalam.

“...Apakah cadangan peruntukan RM85.5 juta kepada Jasa itu adalah sesuatu yang berlebihan dan perlu dikurangkan, boleh sahaja dibincangkan elok-elok,” katanya.

Tambahnya perbelanjaan untuk peruntukan tersebut perlu dijelaskan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Jasa yang sering menyerang pembangkang PH dimansuhkan pada Oktober 2018 apabila gabungan parti itu berjaya membentuk kerajaan dengan dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

Ia termasuk dalam langkah penamatan kontrak lebih sepertiga daripada 17,942 pegawai lantikan politik yang mendapat jawatan bawah pentadbiran terdahulu bawah Najib Razak.

Ia membabitkan kira-kira 800 kakitangan Jasa yang diketuai pemimpin Umno waktu itu sebagai pengarah, Tun Faisal Ismail Aziz.

Butiran dalam dokumen pembentangan Belanjawan 2021 semalam menunjukkan jabatan berkenaan akan menerima RM85.5 juta, yang menerima kritikan pelbagai pihak. – 7 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen