Fatal muda: Hendak mengepal pasir kering 


Ruhan Shahrir

AKHIRNYA, sebuah nama dipilih. Malaysian United Democratic Alliance atau singkatannya Muda, atau dalam nama Melayunya Ikatan Demokratik Malaysia. 

Laman sesawangnya juga menggunakan nama “partimuda”. Begitu juga akaun rasmi media sosial turut dibuat atas nama “partimuda”. 

Gerakan tagar (tanda pagar #) dengan slogan retorika seperti #Muda, #GengMuda, #MudaSudahMula, #MudaMalaysia, #SapotMuda mula tersebar di wadah-wadah atas talian. 

Di sini terlihat satu permulaan yang penuh dengan semangat dan idealisme muda dan kemudaan.

Sesuatu yang sangat positif untuk bangsa dan negara kita apabila terdapat sekumpulan orang-orang muda dari pelbagai kaum dan agama yang aktif bersama-sama berganding bahu menggerakkan sebuah parti politik terangkum (inklusif).

Setakat ini belum dapat dipastikan dengan jelas sama ada Muda akan bergerak sebagai sebuah parti yang akan terlibat dalam politik pilihan raya atau pun Muda sebagai parti yang akan menggerakkan sebuah gerakan politik. 

Politik pilihan raya dan gerakan politik umumnya memerlukan dua pendekatan berbeza. 

Politik pilihan raya memerlukan sokongan setiap pengundi tanpa mengira umur. Gerakan politik tidak semestinya perlu melalui pilihan raya dan sasaran penyusunan sokongan juga boleh sahaja lebih terfokus kepada sektor yang khusus.

Justeru,  jika Muda memutuskan untuk terlibat dalam politik pilihan raya, pemilihan istilah Muda itu sendiri sudah mengundang suatu kesilapan strategi yang fatal.

Istilah muda lazimnya merujuk kepada umur. Jika ditanya secara rawak kepada pelbagai orang dari pelbagai lapisan masyarakat tentang apa yang mereka faham dengan istilah muda, saya yakin ramai yang akan merujuknya sebagai kategori umur. 

Menamakan dan kemudian menjenamakan parti dengan suatu nama yang umumnya pada pandangan masyarakat awam merujuk kepada umur hanya akan membatasi cakupan pengaruh Muda dan berkemungkinan besar menimbulkan kerumitan di kemudian hari.

Dalam konteks politik pilihan raya tanggapan (persepsi) masyarakat biasanya akan mempengaruhi pola pengundian mereka. 

Muda sebagai suatu istilah kata sifat tidak membawa makna yang seluruhnya positif. Muda tentunya boleh membawa makna sesuatu yang baharu, segar, bersemangat, idealistik, berani dan murni.

Tapi pada masa yang sama muda juga boleh ditanggapi oleh masyarakat banyak sebagai naif, belum matang atau kurang pengalaman. 

Dari sudut ini, pemilihan istilah muda sebagai suatu jenama sudah menunjukkan bahawa ia tidak difikirkan secara mendalam oleh penggeraknya kerana muda juga mempunyai erti tambahan yang berkonotasi negatif serta turut membawa beban budaya khususnya dalam masyarakat Malaysia yang masih belum bebas sepenuhnya dari hierarki umur.

Tidak strategik

Tidak seperti istilah adil, saksama atau manusiawi misalnya, yang makna dan pengertiannya boleh merangkul setiap warga masyarakat tanpa mengira umur, kaum, agama, budaya dan gender, penggunaan istilah muda biasanya lebih terfokus hanya kepada satu kumpulan dalam masyarakat yang khusus berdasarkan usia mereka. 

Dalam konteks politik pilihan raya yang memerlukan sokongan semua pengundi tanpa mengira usia, menggunakan nama Muda tentunya tidak strategik.

Realiti politik pilihan raya tidak memungkinkan sebuah parti baru seperti Muda yang belum punya basis sokongan yang jelas dan jaringan yang luas untuk mencakup setiap sektor yang ada dalam masyarakat. 

Justeru itu, sektor masyarakat yang tak tersentuh oleh Muda kemungkinan besar menilai Muda berdasarkan penjenamaan yang digunakan iaitu melalui istilah muda yang umumnya mereka fahami sebagai merujuk kepada umur. 

Ditambah pula dengan barisan kepimpinan dan penggeraknya yang rata-rata berusia muda, tidak keterlaluan untuk berandaian bahawa Muda kemungkinan ditanggapi oleh masyarakat banyak khususnya mereka yang tak tersentuh oleh MUDA sebagai sebuah parti yang khas untuk orang-orang muda sahaja (boleh juga dibaca sebagai orang-orang kurang pengalaman).

Ini tentunya akan membatasi cakupan sokongan yang akan diterima oleh MUDA dalam konteks politik pilihan raya yang memerlukan dukungan sebanyak mungkin pengundi tanpa mengira umur.

Politik gabungan

Persoalan nama Muda itu sendiri bukan hanya berkemungkinan membataskan cakupan sokongan ketika bertanding pilihan raya tetapi juga membuka peluang kepada timbulnya kerumitan lain jika Muda bercita-cita untuk mengadakan kerjasama politik dengan parti-parti yang dilabelkan “tua”.

Struktur dan budaya politik Malaysia sejak dari pilihan raya yang pertama pada tahun 1955 adalah berasaskan kepada gabungan parti-parti politik.

Tiada parti politik yang boleh memenangi kuasa di tingkat Persekutuan secara bersendirian. Baik di pihak pemerintah mahu pun pembangkang, kedua-duanya membentuk politik gabungan.

Pada ketika ini masih belum jelas apakah Muda akan memilih untuk bersendirian atau bergabung.

Jika nanti Muda memilih untuk bergabung, berdasarkan kepada kepimpinan yang membarisi parti-parti lain yang sedia ada, baik di sebelah pemerintah mahu pun pembangkang, semuanya dipimpin oleh mereka yang tua. 

Di manakah mudanya Muda jika pada akhirnya akan bergabung dengan parti-parti yang mereka labelkan “tua”? 

Tidakkah ianya suatu kontradiksi dengan nama Muda itu sendiri jika nanti Muda memilih untuk bersama-sama parti-parti “tua”?

Pada peringkat awal ini pun nama Muda sudah “dianjingkan” dengan pelbagai kutukan serta sindiran sinis. Apatah lagi nanti bila Muda memutuskan untuk menjalin kerjasama dengan parti-parti “tua”. 

Bagaimana pula nanti apabila kepimpinan dan penggerak Muda sendiri semakin meningkat usia mereka? Apakah masih wajar parti mereka ini terus dijenamakan sebagai muda?

Ya, memang “haters gonna hate” atau orang yang membenci akan terus membenci. Tidak kira nama apa pun yang diberi, pembenci akan tetap membenci. 

Tetapi dalam konteks nama yang dipilih iaitu Muda yang umumnya difahami ramai sebagai kata sifat merujuk kepada umur, kerumitan-kerumitan ini sebenarnya boleh diminimumkan jika penggerak-penggerak Muda lebih teliti dalam memilih istilah penjenamaan yang lebih strategik dan berjangka panjang.

Memandangkan nama Muda telah pun dipilih dan unsur-unsur muda dan kemudaan (dalam pelbagai pengertian) sudah menjadi jenama utama kepada parti baru ini khususnya di wadah-wadah atas talian, saya berpandangan sukar untuk penggerak-penggeraknya berpatah balik atau menjenamakan semula dengan nama yang lebih strategik dan berjangka panjang.

Istilah muda yang menjadi jenama kepada parti Muda akan menjadi beban yang perlu diperjelaskan makna dan pengertiannya setiap kali penggerak-penggeraknya turun ke lapangan atau dihujat dengan sindiran-sindiran di atas talian. 

Ketika umur penggerak-penggeraknya semakin meningkat, saya percaya penjenamaan yang menggunakan muda dan kemudaan ini akan kelihatan semakin kosong dan lohong. 

Pada waktu itu mungkin baru tumbuh kesedaran bahawa memilih istilah muda sebagai jenama buat parti Muda adalah suatu kesilapan strategi yang fatal. – 29 September, 2020.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen