YDP Sabah perlu waktu lantik ketua menteri


The Malaysian Insight

Bung Mokhtar adalah antara pemimpin Gabungan Rakyat Sabah yang menemui Juhar petang ini setelah mereka gagal mencapai kata sepakat mengenai calon ketua menteri baharu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 27 September, 2020.

YANG di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin meminta sedikit masa untuk memutuskan siapa yang akan menjadi ketua menteri baharu berikutan keputusan pilihan raya semalam, kata ketua Barisan Nasional Sabah Bung Mokhtar Radin.

Bercakap kepada wartawan selepas meninggalkan istana Sabah hari ini, Bung berkata Juhar meminta sedikit tempoh untuk memutuskan ketua menteri baharu negeri itu.

“Dia minta tempoh… (keputusan) dapat waktu terdekat.” kata Bung kepada wartawan petang ini.

Bung adalah antara pemimpin Gabungan Rakyat Sabah yang menemui Juhar petang ini setelah mereka gagal mencapai kata sepakat mengenai siapa yang akan menjadi calon ketua menteri mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan bahawa Parti Warisan Sabah memenangi 29 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (17), Barisan Nasional (14), Parti Bersatu Sabah (7), Bebas (3), PKR (2) dan Upko (1).

Semua kerusi BN dimenangi oleh Umno.

GRS terdiri daripada BN Sabah, yang dipimpin Bung Mokhtar, Perikatan Nasional Sabah pula diketuai Hajiji Noor dan PBS. Ketiga-tiga badan ini mempunyai 38 kerusi dari 73 kerusi membolehkan mereka membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, PN dan BN kini dilihat berselisih berhubung siapa yang akan menjadi ketua menteri baharu di negeri itu.

Semasa berkempen untuk PRN Sabah, PN telah menguar-uarkan Hajiji sebagai ketua menteri baharu.

BN Sabah, yang dikuasai Umno Sabah, mempunyai hubungan yang rapuh dengan Perikatan dan tidak bersetuju dengan Hajiji.

Hajiji, setiausaha agung PBS Jahid Jahim, dan presiden Star, Dr Jeffrey Kitingan juga dilihat memasuki dan meninggalkan Istana Sabah hari ini. – 27 September, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen