Usai kempen PRN Sabah, ketua pemuda Umno dikuarantin


Asyraf Wajdi Dasuki memantau PRN Sabah dari rumah sahaja selepas terpaksa jalani kuarantin rumah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2020.

KETUA Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan bahawa beliau kini dikuarantin di rumah setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat dua pesakit Covid-19 - calon BN di Pitas, Sufian Abd Karim dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Razlan Rafii.

Asyraf dikuarantin di rumah walaupun diuji negatif Covid-19.

Beliau juga dilihat menghantar aksinya di Instagram melakukan pantauan melalui maya berhubung PRN Sabah dari kediamannya.

Beliau turut mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa dirinya telah diuji Covid-19 sebanyak dua kali dengan keputusan negatif dan dijadualkan menjalani ujian ketiga pada Isnin ini.

Menurut portal berita itu, Asyraf merupakan kontak rapat dua ahli politik lain yang disahkan kes Covid-19. Mereka adalah calon Barisan Nasional bagi kerusi Pitas, Sufian Abdul Karim, dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii.

“Lantaran menjalani perintah kuarantin di rumah, (saya) tetap meneliti perkembangan peratusan keluar mengundi dikalangan pengundi-pengundi,” katanya dalam hantaran tersebut.

Awal minggu ini, Razlan adalah ahli politik pertama yang mengumumkan bahawa beliau telah diuji positif Covid-19 ketika berkempen di Sabah.

Calon Pitas, Sufian, mengumumkan kes positifnya di Facebook awal hari ini, menggesa mereka yang mempunyai kontak rapat dengannya menjalani saringan dan meminta maaf atas rasa tidak selesa yang ditimbulkan oleh beliau.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan juga mengumumkan tiga hari lalu bahawa beliau telah diuji positif Covid-19 selepas berkempen di Sabah.

Sabah ketika ini menjadi titik utama jangkitan wabak Covid-19 dengan catatan lebih dari 700 kes aktif, dan lapan kluster. – 26 September, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen