Siapa bakal ketua menteri Sabah?


The Malaysian Insight

Perikatan Nasional mahu menamakan ketua Bersatu Sabah Hajiji Mohd Noor sebagai calon ketua menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2020.

KETIKA Gabungan Rakyat Sabah mengumumkan sudah menang majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri, berdasarkan keputusan tidak rasmi, perhatian kini bertumpu pada persoalan – siapa akan jadi ketua menteri yang baharu.

Menjelang pilihan raya negeri, Umno dan Bersatu yang bekerjasama dalam GRS masing-masing mengemukakan calon mereka untuk jawatan itu.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mula-mula sekali menamakan ketua parti negeri Hajiji Mohd Noor sebagai calon, yang diumumkannya pada hari penamaan calon pada 12 September.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun pada hari sama berkata keputusan calon ketua menteri akan dibuat oleh BN dan sekutu politiknya selepas berjaya membentuk kerajaan negeri.

BN membayangkan calon mereka ialah ketua Umno Sabah yang juga pengerusi BN negeri Bung Moktar Radin.

Hajiji dan Bung Moktar masing-masing menang di Sulaman dan Lamag.

Keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menunjukkan parti-parti dalam GRS menang 38 kerusi, sekaligus melepasi jumlah kerusi majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu menggantikan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Warisan dan sekutunya yang bersama atas nama Warisan Plus hanya memperoleh 29 kerusi sementara PKR menang 2 dan Upko satu kerusi. Tiga kerusi lagi dimenangi calon bebas.

GRS terdiri daripada Perikatan Nasional yang menang 17 kerusi, Barisan Nasional (14) dan Parti Bersatu Sabah (7). – 26 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen