Tidak rasmi: GRS menang Sabah


The Malaysian Insight

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Perikatan Nasional menang 20 kerusi sementara Barisan Nasional menang 15 sementara Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 5 kerusi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 September, 2020.

GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) menang pilihan raya negeri Sabah berdasarkan keputusan tidak rasmi yang terkumpul setakat 10 malam, melepasi garis majoriti mudah 37 kerusi berbanding 24 yang dimenangi Warisan Plus. 

Tiga kerusi dimenangi oleh calon bebas di Kuamut, Kemabong, dan Pitas.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Perikatan Nasional (PN) menang 22 kerusi (Bersatu 10, Star 6, dan PBS 6) sementara Barisan Nasional (BN) menang 14 kerusi melalui Umno. PBS menjadi rakan kongsi PN hampir seminggu setelah kempen berjalan. 

Pada sekitar pukul 8.55 malam, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin mengumumkan GRS telah menang dan akan membentuk kerajaan negeri.

Pengumumannya disambut sorakan gembira pemimpin dan aktivis parti yang berhimpun mengikuti perkembangan pengiraan undi dari semua 73 kawasan pilihan raya di seluruh negeri, dari sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Mereka turut menyanyi “Terima kasih orang Sabah” dan melaungkan slogan “GRS”, “Perikatan Nasional”, dan “Ubah Balik”.

Hamzah Zainuddin meraikan kemenangan Perikatan Nasional di PRN Sabah malam ini. Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Perikatan Nasional menang 20 kerusi sementara Barisan Nasional menang 15 sementara Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 5 kerusi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 26 September, 2020.

Beberapa pemimpin kanan Bersatu juga kelihatan hadir antaranya naib presiden Ronald Kiandee, timbalan ketua Bersatu Sabah Masidi Manjun, serta ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Mohamed Azmin Ali.

Presiden SAPP, sebuah lagi parti gabungan PN, Yong Teck Lee juga hadir.

GRS pula merupakan gabungan kerjasama antara Barisan Nasional (Umno, MCA, PBRS) dengan Perikatan Nasional (Bersatu, Star, SAPP, PAS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bertanding dengan logonya sendiri.

Ia mencabar Warisan Plus yang terdiri daripada Parti Warisan Sabah yang bersekutu dengan Pakatan Harapan (DAP, Amanah, dan PKR) serta Upko.

Pilihan raya negeri ini mempertandingkan 73 kerusi, dengan 37 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Siapa menang di mana?

Berdasarkan keputusan awal, Warisan mengekalkan penguasaannya di kawasan pantai timur Sabah tetapi hilang beberapa kerusi yang dimenangi sebelum ini di kawasan pantai barat.

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal mengekalkan kerusinya di Senallang sementara bekas menteri kabinet Mohamadin Ketapi yang mencetuskan kontroversi semasa kempen menang di Segama.

Kelihatan penyokong Warisan Plus berehat selepas keputusan PRN Sabah diumumkan. Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Perikatan Nasional menang 20 kerusi sementara Barisan Nasional menang 15 sementara Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 5 kerusi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 26 September, 2020.

Ketua BN Sabah Bung Mokhtar Radin menang di Lamag sementara ketua Bersatu Sabah Hajiji Noor menang di Sulaman, yang kedua-duanya disebut sebagai calon ketua menteri.

Bekas menteri kabinet Salleh Said Keruak menang di Usukan.

Tiga calon bebas yang menang ialah penyandang Masiung Banah (Kuamut), bekas ahli Parlimen Rubin Balang (Kemabong), dan bekas timbalan ketua cabang PKR Rudy Awah (Pitas).  – 26 September, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen