Sekolah agama, vernakular tak dapat pupuk perpaduan, kata mufti Perlis


Ravin Palanisamy Elill Easwaran

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkatasekolah rendah yang dicadangkan harus bersifat patriotik dan setiap orang mesti melalui pengalaman yang sama. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 September, 2020. 

PUTRAJAYA harus melaksanakan sistem sekolah rendah aliran tunggal yang dapat membantu memupuk perpaduan dan keharmonian antara anak-anak kecil dari pelbagai kaum, kata mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.

Mohd Asri, juga dikenali sebagai Dr Maza berkata, melalui sistem pendidikan bersama dalam enam tahun pertama akan menjadi kunci memupuk perpaduan antara kaum.

Beliau berkata, dengan latar belakang pendidikan dan pengalaman bersama, nilai-nilai kebangsaan dapat ditanam dengan lebih mudah.

“Kita nak semua anak kecil Malaysia tidak prejudis antara satu sama lain.

“Jadi, mungkin di peringkat sekolah rendah, mereka semua harus bersekolah di sekolah kebangsaan dan bukannya sekolah agama vernakular atau Islam, supaya mereka dapat berkongsi pengalaman bersama.

“Kenapa perlu diterapkan di sekolah rendah adalah kerana benih kebencian belum tumbuh, mereka tidak tahu cerita politik, mereka tidak tahu mengenai kaum atau warna kulit yang berbeza. Yang mereka tahu ialah mereka mempunyai rakan dari pelbagai bangsa,” katanya semasa forum meraikan ulang tahun ke-50 Rukun Negara.

Tambah Mohd Asri, di peringkat sekolah menengah, pelajar boleh pilih sekolah pilihan mereka, dengan syarat mereka belajar hidup bersama kaum-kaum lain.

Mufti Perlis itu berkata, sekolah rendah yang dicadangkan harus bersifat patriotik dan setiap orang mesti melalui pengalaman yang sama.

“Pada masa ini ramai anak muda Malaysia yang bersekolah agama atau vernakular, akhirnya berkawan dalam puak masing-masing. Mereka tak berkongsi pengalaman sama.

“Jadi, jika kita benar-benar ingin membangunkan negara ini, kita harus terima (sistem sekolah aliran tunggal).

“Jika tidak, kita cuma buang masa bercakap tentang semua ini (perpaduan) tetapi bila bercampur gaul, mereka mungkin masih bergaduh tentang bangsa dan agama,” katanya.

Mohd Asri berkata, beliau pernah membangkitkan perkara ini kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Tambahnya, beliau turut akan mengemukakan perkara ini kepada kerajaan sekarang.

“Mereka yang mahukan sekolah agama atau sekolah vernakular mungkin marah kepada saya tetapi jika kita mahukan perpaduan, ianya perlulah dipupuk sekarang.

“Kita perlukan ini untuk generasi masa depan kita,” katanya. – 20 September, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen