Peguam Negara mesti lawan kes cabar sekolah jenis kebangsaan, kata DAP


Menteri Kewangan berkata beliau akan membangkitkan isu itu dalam mesyuarat kabinet esok, yang juga merupakan mesyuarat kabinet terakhir bagi tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2019.

PEGUAM Negara mesti mempertahankan status sah sekolah jenis kebangsaan di sisi Perlembagaan Persekutuan susulan tindakan mahkamah yang difailkan dua pertubuhan berkaitan pendidikan mencabar status institusi itu, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Katanya, DAP menyifatkan tindakan mahkamah itu “satu langkah bahaya” yang boleh mengganggu perpaduan dan keharmonian nasional masyarakat yang majmuk di Malaysia.

Menteri Kewangan berkata beliau akan membangkitkan isu itu dalam mesyuarat kabinet esok, yang juga merupakan mesyuarat kabinet terakhir bagi tahun ini.

“DAP akan mempertahankan mati-matian hak berperlembagaan sekolah Cina dan Tamil untuk wujud dengan membawa ke mesyuarat kabinet terakhir esok bahawa kerajaan harus mengarahkan Peguam Negara menentang habis-habisan tindakan mahkamah ini,” kata Lim dalam satu kenyataan.

DAP juga akan memohon untuk mencelah bagi pihak sekolah jenis kebangsaan.

Kata Lim, beliau sudah mengarahkan pengerusi Biro Guaman DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh untuk mewakili parti.

Semalam, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mencabar status sekolah jenis kebangsaan.

Mereka menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dalam saman tersebut, mereka memohon perisytiharan mahkamah bahawa peruntukan undang-undang dalam Akta Pendidikan 1996 mengenai sekolah jenis kebangsaan bertentangan dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152(1) menyentuh soal Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dua badan itu juga memohon perisytiharan bahawa kewujudan sekolah jenis kebangsaan bercanggah dengan beberapa hak asasi manusia yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perintah mahkamah agar kerajaan menyelaraskan sekolah jenis kebangsaan menggunakan bahasa kebangsaan dalam masa enam tahun daripada keputusan mahkamah.

Menurut Lim, selama 62 tahun sejak Merdeka, kewujudan sekolah Cina dan Tamil tidak pernah dipersoalkan malah menerima dana awam tanpa masalah.

Oleh itu, pihaknya memandang tindakan mahkamah ini dengan cukup bimbang.

“DAP melihatnya sebagai satu perkembangan yang bahaya yang bukan hanya mengancam kewujudan sekolah Tamil dan CIna tetapi menjejaskan perpaduan dan keharmonian nasional masyarakat yang majmuk,” katanya.

Sehari selepas GPMS dan Mappim memfailkan kes mereka, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang kesnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 11 November lalu, hari ini memfailkan semula kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 11 November lalu, Hakim Besar Malaya Azhar Mohamed memutuskan perkara yang dikemukakan Khairul Azam perlu dimulakan di Mahkamah Tinggi dan bukannya terus ke Mahkamah Persekutuan.

Ini menjadikan ada dua kes mencabar kesahihan sekolah jenis kebangsaan di sisi Perlembagaan Persekutuan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu ini.

Peguam Shaharudin Ali yang mewakili beliau dipetik berkata permohonan itu disandarkan kepada kedudukan undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Agung dalam kes melibatkan Universiti Merdeka pada 1982.  – 17 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen