2 kes cabar sekolah jenis kebangsaan difail di mahkamah 


Dua kes mencabar kesahihan sekolah jenis kebangsaan di sisi Perlembagaan Persekutuan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2019.

DUA kes mencabar kesahihan sekolah jenis kebangsaan di sisi Perlembagaan Persekutuan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu ini, selepas satu daripadanya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan sebulan yang lalu atas isu teknikal berkaitan bidang kuasa. 

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang kesnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 11 November lalu, hari ini memfailkan semula kes di Mahkamah Tinggi, lapor Free Malaysia Today.

Peguam Shaharudin Ali yang mewakili beliau dipetik berkata permohonan itu disandarkan kepada kedudukan undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Agung dalam kes melibatkan Universiti Merdeka pada 1982.

Sama seperti kes yang ditolak bulan lalu, Khairul Azam sekali lagi menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Pada 11 November lalu, Hakim Besar Malaya Azhar Mohamed memutuskan perkara yang dikemukakan Khairul Azam perlu dimulakan di Mahkamah Tinggi dan bukannya terus ke Mahkamah Persekutuan.

Khairul Azam memfailkan semula kesnya sehari selepas dua pertubuhan berkaitan pendidikan memfailkan kes sama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) juga menamakan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Saman itu difailkan melalui Tetuan Amelda Fuad Abi dan Aidil petang semalam. 

GPMS dan Mappim juga melantik Haniff Khatri Abdulla sebagai peguam utama semasa perbicaraan nanti, kata firma guaman itu.

Dalam satu kenyataan media, firma guaman itu menjelaskan saman tersebut difailkan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan bulan lalu yang menegaskan kes seumpama itu perlu dikemukakan di Mahkamah Tinggi.

Ia bagaimanapun menyebut dua badan itu menyokong usaha meningkatkan penguasaan bahasa ketiga dalam kalangan pelajar namun menolak bahasa ketiga itu menjadi bahasa pengantar utama mana-mana institusi pendidikan awam yang menerima dana awam.

“Hal tersebut akan bercanggah dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mesti digunakan untuk semua tujuan rasmi,” kata Tetuan Amelda Fuad Abi dan Aidil.

Dalam saman tersebut, GPMS dan Mappim memohon perisytiharan mahkamah bahawa peruntukan undang-undang dalam Akta Pendidikan 1996 mengenai sekolah jenis kebangsaan bertentangan dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152(1) menyentuh soal Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dua badan itu juga memohon perisytiharan bahawa kewujudan sekolah jenis kebangsaan bercanggah dengan beberapa hak asasi manusia yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perintah mahkamah agar kerajaan menyelaraskan sekolah jenis kebangsaan menggunakan bahasa kebangsaan dalam masa enam tahun daripada keputusan mahkamah. – 17 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen