Perjuangan cabar sekolah vernakular belum berakhir, kata peguam


Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz untuk kebenaran mempertikaikan keabsahan sekolah jenis kebangsaan dari segi Perlembagaan Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2019.

PERJUANGAN mencabar status sekolah jenis kebangsaan belum berakhir, kata peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, selepas Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan beliau untuk kebenaran mempertikaikan keabsahan institusi itu dari segi Perlembagaan Persekutuan.

Khairul Azam berkata beliau akan meneruskan usaha itu, kali ini dengan mengemukakan persoalan sama ke Mahkamah Tinggi.

“Cabaran terhadap keabsahan sekolah vernakular ini masih belum berakhir. Yang berakhir semalam di Mahkamah Persekutuan sahaja apabila Mahkamah enggan membicarakan kes ini mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan.

“Yang belum difailkan adalah cabaran di bawah Perkara 4(1) Perlembagaan di Mahkamah Tinggi Malaya,” katanya dalam satu kenyataan penjelasan di Facebook.

Setakat ini, tiada siapa menang atau kalah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, tambahnya, merujuk kepada laporan media berbahasa Mandarin yang menyifatkannya sebagai “kemenangan” sekolah jenis kebangsaan.

Jelas Khairul Azam, tiada siapa menang atau kalah kerana merit isu berkenaan belum diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Jadi kes ini belum berakhir. Ia baru bermula. Jadi tak ada isu siapa menang siapa kalah lagi semalam,” katanya.

Beliau juga mengingatkan akhbar berbahasa Mandarin supaya “jangan memberi harapan palsu” dengan meraikan ‘kejayaan’ yang sebenarnya belum ada keputusan.

“Kalau kamu nak bagi harapan palsu kepada pembaca kamu untuk meraikan kejayaan palsu kamu semalam, itu kamu punya pasal.

“Yang aku punya pasal ialah aku sedang siapkan dokumen saman untuk difailkan di Mahkamah Tinggi pula,” katanya.

Khairul Azam, yang juga naib presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pimpinan Ibrahim Ali, memfailkan usul di mahkamah minggu lalu mencabar kuasa Kementerian Pendidikan mewujudkan sekolah jenis kebangsaan di Malaysia, yang hujahnya, bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Saman itu menamakan menteri pendidikan dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Beliau mencabar kuasa Parlimen menggubal dua peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996 yang menyentuh soal bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan penubuhan sekolah jenis kebangsaan.

Akta Pendidikan 1996 menggantikan Akta Pelajaran 1961, yang sebelum itu menggantikan Ordinans Pelajaran 1956. – 12 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen