Anifah berdepan 4 penjuru di Bongawan, Salleh Keruak 3 penjuru di Usukan


Anifah Aman selepas proses penamaan calon bagi PRN Sabah. Beliau bakal dicabar calon daripada Warisan, Barisan Nasional dan LDP. – Gambar Facebook, 12 September, 2020.

PRESIDEN Parti Cinta Sabah (PCS) Anifah Aman berdepan pertandingan empat penjuru bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Bekas menteri luar itu dicabar penyandang kerusi DUN Bongawan Dr Daud Yusof daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) selain Ag Syairin dari Barisan Nasional (BN) dan Mohd Azree Abd Ghani dari Parti Liberal Demokratik (LDP).

DUN itu mempunyai 16,735 pengundi.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Daud memperoleh 6,912 undi menewaskan calon BN Mohamad Alamin (6,117 undi) dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail (627 undi).

Sementara itu, bekas menteri komunikasi dan multimedia Salleh Said Keruak mewakili BN, akan bertanding di kerusi DUN Usukan, ditentang dua pencabar lain membabitkan bekas calon kerusi tersebut pada PRU14, Abdul Bahkrin Mohd Yusof (Warisan) dan calon PCS, Datu Mohd Nazaruddin Datu Tigabelas.

Pada PRU14, kerusi tersebut dimenangi Japlin Akim (BN) yang mendapat 8,738 undi, menewaskan Abdul Bahkrin (7,513 undi), calon PAS Adzmin Awang (355) dan calon Bebas, Amsor Tuah (70 undi).

DUN Usukan kini mempunyai 16,883 pengundi. – Bernama, 12 September, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen