Umno tanding 31 kerusi, Salleh Said Keruak antara calon


Sheridan Mahavera

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Bung Moktar Radin menunjukkan senarai calon yang bertanding pada PRN Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 10 September, 2020.

BEKAS menteri Umno Salleh Said Keruak antara calon parti itu yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri akhir bulan ini.

Salleh yang diumumkan sebagai calon DUN Usukan merupakan bekas ketua menteri antara tahun 1994 hingga 1996 semasa jawatan itu dilantik melalui sistem penggiliran.

Kerusi itu sebelum ini disandang Japlin Akim – bekas ketua Pemuda Umno Sabah yang ikut keluar parti beramai-ramai pada Disember 2018 untuk menyertai Bersatu.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang media oleh Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin yang juga antara barisan 31 calon.

Bung menjelaskan, Salleh diumumkan sebagai “calon langsung BN”.

Senarai calon tersebut tidak menyertakan bekas ketua menteri Musa Aman, yang gagal mencabar keputusan membubarkan DUN Sabah dalam satu saman di mahkamah.

Ketika mengulas perkara itu, Bung Moktar yang juga ahli Parlimen Kinabatangan berkata Musa tidak memohon untuk bertanding.

“Sebenarnya Musa tidak pernah memohon untuk menjadi calon BN dan tidak juga menawarkan kepada beliau untuk menjadi calon.

“Walau apapun kita menghormati semua pemimpin termasuklah Musa,” kata Bung Moktar kepada pemberita.

Dalam sidang media di Kota Kinabalu hari ini, Bung Moktar juga mengumumkan beliau akan bertanding DUN Lamag.

Pengumuman calon Umno Sabah itu sepatutnya diumumkan dalam majlis terdahulu bersama parti Bersatu, namun parti diketuai Muhyiddin Yassin itu akan membuat pengumuman calon berasingan petang ini.

Ia menyebabkan majlis bersama Umno Sabah itu diubah menjadi “Majlis Ramah Mesra Pemimpin BN dan PN (Bersatu)”.

Umno Sabah mengetuai gabungan BN Sabah turut dianggotai MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Bung turut mengumumkan MCA Sabah dan PBRS akan mengumumkan calon masing-masing dalam majlis berasingan.

Pilihan raya negeri Sabah yang melibatkan 73 kerusi akan berlangsung 26 September.

Berikut senarai penuh 31 calon Umno Sabah:

Banggi - Akram Ismail
Bengkoka - Harun Durabi
Pitas - Sufian Abdul Karim
Tempasuk - Mohd Arsad Bistari
Usukan - Salleh Said Keruak
Pantai Dalit - Jasnih Daya
Karambunai - Datuk Yakubah Khan
Darau - Jumat Idris
Tanjung Aru - Mohd Reduan Aklee
Tanjung Keramat - Shahelmy Yahya
Pantai Manis - Mohd Tamin @ Tamin Zainal
Bongawan - Ag Lahap Ag Bakar @ Ag Syairin
Lumadan - Kamarlin Ombi
Sindumin - Sani Miasin
Kemabong - Raime Unggi
Telupid - Abdul Wahab Abdul Ghani
Sugut - James Ratib
Gum-Gum - Suhaimi Nasir
Sungai Manila - Mokran Ingkat
Sungai Sibuga - Mohamad Hamsan Awang Supian
Sekong - Hazulizah Md Dani
Kuamut - Juhari Janan
Lamag - Bung Moktar Radin
Sukau - Jafry Ariffin
Tungku - Momen @ Abd Momen Anchai @ Anghai
Kunak - Halid Harun
Sulabayan - Abdul Manan Indanan
Balung - Hamild @ Hamid Awang
Kukusan - Chaya Sulaiman
Tanjung Batu - Andi Muhammad Surady Bandy
Paginatan - Junaidi Sahat. – 10 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen