PCS tidak akan kerjasama dengan parti lain, kata Anifah 


Presiden PCS Anifah Aman berkata partinya akan bertanding pada sebanyak kerusi yang boleh bagi membentuk kerajaan negeri Sabah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2020.

PARTI Cinta Sabah (PCS) tidak akan menjalinkan kerjasama dengan parti lain pada pilihan raya Sabah akan datang, kata presidennya Anifah Aman.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana memikirkan dan menginginkan PCS namun kami tetap dengan pendirian kami.

“Sebagai Presiden PCS, saya ingin mengulang dan menegaskan sekali lagi dasar perjuangan Parti Cinta Sabah PCS untuk pilihan raya sabah akan datang- kami tidak berpakat dan bergabung dengan mana mana parti untuk tujuan pilihan raya negeri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau juga berkata PCS akan bertanding pada sebanyak mana kerusi yang boleh untuk membentuk kerajaan negeri Sabah. Negeri itu mempunyai 73 kerusi untuk dipertandingkan pada pilihan raya negeri akan datang.

Kenyataan bekas menteri Umno itu dibuat selepas Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu akan berbincang kemungkinan untuk bekerjasama dengan pelbagai parti di Sabah, termasuk PCS.

Menurut Zahid, gabungan itu adalah untuk menghadapi pilihan raya negeri Sabah yang akan diadakan pada 26 September. Hari penamaan calon ditetapkan pada 12 September.

Anifah yang keluar dari Umno pada September tahun lalu, menjadi presiden PCS pada Julai. PCS merupakan parti pembangkang di negeri itu.

Bekas menteri luar itu berkata beliau meninggalkan Umno kerana parti itu dan BN gagal memenuhi janji dalam Perjanjian Malaysia 1963 untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak.

Anifah juga merupakan adik kepada bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, yang cuba megambil alih kerajaan negeri daripada Warisan dengan mendakwa memiliki sokongan 32 Adun.

Anifah juga berkata sudah tiba masanya Musa untuk bersara daripada politik.

DUN Sabah dibubarkan pada 30 Julai atas permintaan ketua menteri Mohd Shafie Apdal kepada Yang Dipertua Negeri. – 24 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen