Parti Pejuang: Apa motivasi Dr Mahathir? (Bahagian 3)


Ruhan Shahrir

TIMING atau masa menjadi analisis penting untuk memahami motivasi Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Pejuang.

Terdapat tiga timing atau masa yang digunakan oleh Dr Mahathir untuk mengisytiharkan penubuhan parti baharunya.

Pertama, sesudah termeterai suatu bentuk kerjasama longgar antara Bersatu-Umno-PAS.

Dr Mahathir tidak melakukannya di kala belum ada sebarang ikatan antara ketiga-tiga parti terbesar Melayu ini. Ikatan kerjasama yang longgar cenderung mendorong kepada usah untuk mengejapkannya bila muncul ancaman.

Kedua, setelah keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Najib Razak di atas semua pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Perseteruan Dr Mahathir bukanlah dengan Umno sebagai sebuah institusi tetapi sebaliknya dengan individu yang memimpin Umno yang terkait dengan tuduhan rasuah. 

Dilihat dari konteks ini, tidak mustahil untuk Pejuang bergabung atau kembali kepada Umno jika sekiranya individu yang terpalit dengan tuduhan rasuah telah dihukum sewajarnya.

Justeru, selain berfungsi sebagai ancaman untuk mendorong kepada usaha penyatuan parti Melayu, Pejuang juga berperanan untuk menyemak, memantau dan mengawasi pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh parti Melayu. 

Ini bagi memastikan ia tidak melencong daripada salah satu tujuan asal Dr Mahathir menyertai Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu iaitu untuk memastikan semua kepimpinan Umno yang terlibat dalam kes rasuah dihukum setimpalnya.

Dan ketiga, masa yang dipilih oleh Dr Mahathir juga adalah ketika beliau tidak punya kekuatan iaitu ketika beliau hanya punya enam kerusi Parlimen sahaja.

Ancaman yang dilakukan oleh Dr Mahathir dengan penubuhan Pejuang ini intensitinya adalah lemah dan takkan mampu untuk menggugat penyatuan parti Melayu ini tetapi cukup untuk mengawasi, memantau dan “mengacau” kerajaan PN jika ia dilihat melencong. 

Dalam konteks ini, jika akhirnya nanti ketiga-tiga parti Melayu ini gagal menyatu, ia bukan kerana Dr Mahathir tetapi berpunca daripada pertelagahan dan perbalahan antara sesama mereka sendiri khususnya dalam menangani masalah rasuah yang melibatkan beberapa orang pemimpin tertinggi Umno. 

Hanya dengan enam kerusi Parlimen, tentunya ancaman yang diberikan oleh Pejuang tidak cukup kuat untuk memecahkan tapi berfungsi mendorong kepada usaha pengukuhan dan pengawasan.

Andaian saya ini akan kelihatan lebih munasabah jika kita mempertimbangkan keputusan yang diambil oleh Dr Mahathir untuk Pejuang tidak duduk bersama-sama dalam gabungan PH. 

Sebaliknya beliau memilih untuk berada di luar PH sebagai suatu strategi “mengkucar-kacirkan” parti dalam PH dengan tujuan khusus untuk menafikan peluang parti yang bukan berteraskan Melayu (PKR dan DAP) daripada kembali menjadi kerajaan pusat.

Tanpa Pejuang sukar untuk PH merebut kembali kepimpinan kerajaan pusat dan tanpa PH pula, takkan mungkin untuk Pejuang menumbangkan kerajaan PN. 

Justeru, kedudukan yang sebegitu rupa diambil secara sedar oleh Dr Mahathir untuk memenuhi motivasinya yang tersirat iaitu rasa kebangsaan Melayu yang menginginkan Malaysia terus dipimpin oleh parti berteraskan Melayu.

Jika inilah yang menjadi motivasi Dr Mahathir, kenapa beliau tidak memilih untuk bersama PN walhal seperti mana yang telah saya bentangkan di awalnya Dr Mahathir sendiri telah menyatakan sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia untuk menggantikan beliau? 

Kenapa pada saat-saat akhir, beliau memilih menentang Muhyiddin serta menolak untuk kembali kepada Bersatu dan sebaliknya menubuhkan Pejuang?

Dalam bingkai tindak-tanduk seorang nasionalis Melayu seperti Dr Mahathir, Pejuang adalah suatu strategic political devices atau alat politik strategik yang digunakan oleh beliau untuk mendorong kepada pengukuhan penyatuan parti Melayu. 

Namun pada masa yang sama sebagai seorang individu bebas, Dr Mahathir juga sudah tentu punya tekad peribadinya sendiri yang ingin dicapai sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Tekad peribadi Dr Mahathir ini pada pandangan saya merupakan keinginan beliau yang bersifat psikologis tetapi berkait rapat dengan sistem budaya masyarakat beliau sendiri iaitu masyarakat Melayu. 

Istilah “nama” sebagai suatu konsep budaya banyak tercatat dalam hikayat Melayu yang ditulis sejak ratusan tahun dahulu.

Sehingga sekarang “nama” sebagai sebuah konsep budaya dimanifestasikan secara khas dalam upacara penganugerahan gelaran nama pada sosok terpilih pada setiap hari keputeraan Raja-Raja Melayu.

“Nama” dalam budaya Melayu bukan sekadar istilah tetapi membawa nilai khusus yang menentukan kedudukan sosial, darjat, maruah, harga diri, reputasi, wibawa dan martabat seorang individu Melayu. 

Pada pandangan saya Dr Mahathir dalam konteks ini memiliki tekad peribadi untuk menjaga, memelihara dan seterusnya membersihkan “nama” beliau apatah lagi pada saat hayat beliau yang sudah hampir ke penghujungnya.

“Nama” dalam konteks ini membawa makna reputasi, wibawa atau nama baik yang ingin ditinggalkan kepada dunia.

Dr Mahathir sedar “nama” beliau tidaklah sepenuhnya baik dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Beliau telah dikritik teruk di sepanjang pemerintahan beliau sebagai perdana menteri Malaysia selama 22 tahun. 

Menyedari hal inilah mendorong beliau memuatkan penjelasan khusus tentang kontroversi yang pernah melibatkan nama beliau ketika menjadi perdana menteri di dalam buku autobiografi beliau sendiri yang berjudul “Doctor in the House”. 

Bagi sesiapa yang sudah membaca habis dan menekuni secara intim autobiografi karangan beliau ini akan menyedari terdapat semacam usaha tersirat yang dilakukan oleh DrMahathir untuk membersihkan “nama” beliau melalui buku itu.

“Doctor in the House” bukan sahaja digunakan sebagai sebuah pengkisahan hidup seorang Dr Mahathir tetapi juga sebagai strategic purification medium atau sarana penyucian strategik untuk membersihkan “nama” beliau supaya dilihat baik oleh khalayak masyarakat.

Secara psikologi, manusia umumnya mahu dilihat baik, bersih, suci, tidak bersalah, berintegriti, berprinsip dan berwibawa.

Sifat ini memberi “nama” yang baik kepada seseorang individu itu. Apatah lagi dalam masyarakat Melayu yang mana konsep “nama” sangat penting khususnya dalam konteks penghakiman nilai diri seseorang individu itu. 

Kerana itulah munculnya peribahasa yang sehingga sekarang masih dipakai dan diangkat – “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. 

Buat seorang individu Melayu pada saat nyawanya sudah lagi tiada, yang ditinggalkan bukan harta, bukan wang ringgit, bukan tanah atau kekayaan material tetapi “nama”.

Justeru, Dr Mahathir sebagai seorang nasionalis Melayu tegar tidak terkecuali dari psikologi atau psiki Melayu ini yang melahirkan tekad peribadi untuk beliau meninggalkan “nama” baik, suci dan bersih sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. 

Dan, sarana yang paling strategik untuk melakukan proses penyucian ini adalah melalui Pejuang.

Seperti mana buku autobiografi beliau “Doctor in the House”, pola tindakan yang sama beliau lakukan dengan menggunakan Pejuang sebagai suatu bentuk strategic purification medium untuk membersihkan “nama” beliau.

Dr Mahathir ingin memperlihatkan kepada masyarakat umum khususnya Melayu yang beliau tetap teguh dan komited dalam perjuangan untuk bangsa Melayu tetapi kekal berprinsip dan berintegriti apabila beliau mengambil pendirian untuk tidak bersekongkol dengan Umno yang masih dibarisi oleh pemimpin yang didakwanya sebagai perasuah. – 10 September, 2020.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen