KEMENTERIAN Kehakiman Bolivia semalam menuduh bekas presiden Evo Morales dengan pertuduhan kedua hubungan seksual dengan gadis bawah umur, kata pihak berkuasa.
Morales, 60, menerajui negara Amerika Selatan itu daripada 2006 sehingga 2019, dituduh menjadi bapa kepada anak seorang gadis yang ketika itu hanya berumur 16 tahun.
Pertuduhan terbaru itu berlaku selepas kementerian memfailkan laporan dengan pendakwa raya minggu lepas berkaitan “jenayah rogol bawah umur dan pemerdagagangan manusia” terhadap Morales.
Semalam, kementerian mendedahkan “kemungkinan kes baharu rogol” susulan aduan dibuat pihak tidak didedahkan namanya, kata Timbalan Menteri Guido Melgar.
Ia sudah memfailkan laporan dengan penyiasat La Paz untuk kanak-kanak dan remaja yang boleh menyiasat tuduhan itu.
Pihak berkuasa berkata gadis itu “mempunyai hubungan sentimental dengan Juan Evo Morales Ayma dan mengandung ketika berusia 15 tahun dan lima bulan,” kata Melgar.
Tambahnya, gadis itu melahirkan seorang bayi perempuan pada Februari 2016 ketika berusia 16 tahun.
“Bayi itu wujud. Ibu (gadis) itu wujud dan ayah bayi itu didaftarkan dengan nama Juan Evo Morales Ayma,” kata Melgar.
Sijil kelahiran sudah diserahkan kepada penyiasat yang kemudiannya akan menentukan sama ada akan memfailkan laporan jenayah dengan pendakwa raya awam.
Hukuman rogol di bawah undang-undang Bolivia adalah penjara dua sehingga enam tahun.
Laporan minggu lepas dibuat selepas sebuah akhbar Bolivia menerbitkan gambar menunjukkan Morales bersama seorang gadis muda, dikenali sebagai N.M.
N.M sekarang berusia 19 tahun dan di bawah umur ketika hubungan itu bermula.
Parti Morales, Pergerakan untuk Sosialisme (MAS) mendakwa tuduhan bermotifkan politik dan menyalahkan kerajaan konservatif sementara.
Bolivia akan mengadakan pilihan raya presiden pada 18 Oktober dan walaupun Morales diharamkan bertanding, calon partinya Luis Arce menerajui pilihan pengundi sejak dicalonkan pada Januari.
MAS berkata kerajaan menggunakan tuduhan itu untuk mempengaruhi pilihan raya.
Morales hidup dalam buangan di Argentina selepas melarikan diri daripada protes ganas pasca pilihan raya susulan pemilihan semulanya pada Oktober.
Beliau adalah presiden orang Asal pertama negara itu, menjadi presiden selama empat penggal tetapi audit Organisasi Negara Amerika mendapati wujud bukti tentang penipuan pilihan raya. – AFP, 25 Ogos, 2020.
Komen