Bolivia bentang rang undang-undang pilihan raya baharu


Jeanine Anez mengisytiharkan dirinya presiden sementara Bolivia selepas Presiden Evo Morales dan bekas Naib Presiden Alvaro Garcia Linera meletak jawatan susulan protes antikerajaan dan rampasan kuasa tentera. – Gambar AFP, 21 November, 2019.

PEMIMPIN kerajaan sementara Bolivia Jeanine Anez pada Rabu membentangkan rang undang-undang pilihan raya baharu kepada Dewan Undangan Negeri, lapor agensi berita Xinhua.

Rang undang-undang itu juga mencadangkan penubuhan Tribunal Pilihan raya Agung (TSE) yang baharu untuk mengawasi proses pelaksanaan pilihan raya. 

Anez, seorang ahli politik konservatif, mengisytiharkan dirinya presiden sementara selepas bekas Presiden Evo Morales dan bekas Naib Presiden Alvaro Garcia Linera meletak jawatan, susulan protes antikerajaan dan rampasan kuasa tentera.

Penunjuk perasaan membantah pemilihan semula Morales untuk penggal keempat selepas memenangi pilihan raya yang didakwa telah dicemari.

Menteri Dalam Negeri sementara Alvaro Coimbra berkata rang undang-undang yang dikemukakan itu mempunyai “tiga tujuan utama” berdasarkan syor Pertubuhan Negara-Negara Amerika dan Kesatuan Eropah, iaitu mengumumkan keputusan pilihan raya pada 20 Oktober sebagai tidak sah, mengadakan pilihan raya baharu dan melantik anggota baharu TSE.

Andai rang undang-undang itu gagal diluluskan di Dewan Undangan Negeri yang majoriti anggotanya terdiri mereka yang menyokong Morales, kerajaan sementara berkata pilihan  raya akan dilaksanakan menerusi dekri. 

Ditanya mengenai kemungkinan itu, Presiden Senat Eva Copa berkata andai langkah menggunakan dekri dilaksanakan ia menyalahi peraturan kerana tidak mengikut perlembagaan.

“Kita tidak boleh membenarkan pilihan raya diadakan melalui dekri sedangkan Dewan Undangan masih berfungsi secara sah,” kata Copa.

Morales kini berada di Mexico, selepas mendapat suaka politik. Penyokongnya masih meneruskan bantahan di atas penyingkirannya. – Bernama, 21 November, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen