Ketua PBB hantar utusan khas ke Bolivia


Evo Morales mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden Bolivia pada Ahad lalu selepas tentera menuntut beliau melepaskan kerusinya. – Gambar EPA, 15 November, 2019.

SETIAUSAHA Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres semalam menghantar utusan khas peribadi ke Bolivia bagi menawarkan bantuan badan dunia itu ekoran peletakan jawatan Presiden Evo Morales, lapor agensi berita Xinhua.

“Setiausaha Agong meminta Jean Arnault menjadi utusan peribadinya bersama pegawai Bolivia lain bagi menawarkan bantuan PBB mencari penyelesaian aman terhadap krisis itu.

“Ia termasuk membantu pilihan raya menyeluruh, telus dan berwibawa,” kata jurucakap Guterres, Stephane Dujarric.

Beliau berkata, peneraju badan dunia itu amat gusar terhadap perkembangan di Bolivia dan mengulangi rayuannya kepada seluruh rakyat negara itu supaya mengelak keganasan dan mencari penyelesaian aman.

Arnault adalah bekas pegawai khas setiausaha agong itu untuk negara Colombia. Beliau juga menjadi wakil khas setiausaha agung ke Georgia, Afghanistan, Burundi dan Guatemala.

Bolivia huru-hara ekoran bantahan antikerajaan sejak Morales memenangi pilihan raya presiden buat kali keempat pada 20 Oktober lalu.

Parti pembangkang enggan mengiktiraf keputusan pilihan raya itu kerana mendakwa pengundian dicemari penipuan. 

Morales mengumumkan peletakan jawatan pada Ahad lalu selepas tentera menuntut beliau melepaskan kerusinya.

Beliau tiba di Mexico pada Selasa selepas negara itu meluluskan permohonan suaka politik. Pada sidang khas Senat pada Selasa yang tidak disertai anggota Parti Pergerakan Kearah Sosialis (MAS) yang memerintah, senator pembangkang, Jeanine Anez, mengambil alih kerusi presiden Senat yang membolehkannya mengisytihar dirinya sebagai presiden sementara Bolivia.

Anez mengambil alih kuasa di Senat meskipun beliau tidak mempunyai cukup korum bagi membolehkan pelantikannya disahkan.

Katanya, kekurangan korum dewan Senat adalah disebabkan ketidakhadiran anggota Senat dari Parti MAS yang memiliki suara majoriti di parlimen.

Pemimpin Kongres daripada MAS, Betty Yaniquez, menyifatkan tindakan Anez sebagai menyalahi undang-undang. – Bernama, 15 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen