KERAJAAN Bolivia akan memulihkan hubungan diplomatik dengan Israel yang terputus pada 2009 semasa di bawah pemerintahan Evo Morales ekoran serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Menteri Luar Bolivia Karen Longaric mengumumkan perkara itu pada sidang media bersama wartawan asing tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Morales meletak jawatan pada 10 November dan lari ke Mexico selepas berlaku tunjuk perasaan ganas selama beberapa minggu bagi menentang keputusan pilihan raya.
Bekas presiden itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel pada Disember 2008 selepas Israel menyerang Semenanjung Gaza yang menyebabkan ratusan penduduk Palestin terbunuh.
Morales juga mengisytiharkan Israel sebuah negara pengganas dan menamatkan perjanjian yang membenarkan warga Israel melawat Bolivia tanpa visa. Bolivia mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara sejak 1980-an.
Menteri Luar Israel Yisrael Katz menyambut baik keputusan Bolivia untuk memulihkan semula hubungan diplomatik mereka. – AFP, 29 November, 2019.
Komen