Morales tiba di Argentina mohon suaka politik


Bekas presiden Bolivia Evo Morales tiba di Buenos Aires pada Khamis untuk memohon suaka politik. – Gambar AFP, 13 Disember, 2019.

BEKAS presiden Bolivia Evo Morales tiba di Buenos Aires pada Khamis untuk memohon suaka politik, umum Menteri Luar Argentina Felipe Sola.

“Morales baru tiba di (lapangan terbang) Ezeiza. Beliau akan tinggal di sini sebagai pencari suaka dan kemudian akan diberi status pelarian,” Sola memberitahu stesen televisyen TN.

Katanya, Morales lebih selesa berada di Argentina berbanding di Mexico. Mexico sebelum ini menawarkan suaka politik kepada Morales selepas bekas presiden itu tinggalkan Bolivia bulan lepas.

Selepas 14 tahun berkuasa, Morales meletak jawatan pada November selepas polis dan tentera menarik semula sokongan terhadapnya susulan bantahan selama tiga minggu terhadap keputusan pilihan raya. Beliau adalah presiden dari masyarakat peribumi pertama Bolivia.

Menteri Luar Bolivia Karen Longaric memberi amaran bahawa Morales mesti mematuhi peraturan suaka dan tidak mencampuri politik Bolivia.

“Kami berharap Argentina mematuhi prinsip dan peraturan hak suaka politk dan pelarian, dan apa yang berlaku di Mexico di mana beliau dibenarkan bercakap tentang politik secara terbuka tidak akan berulang,” kata Longaric pada sidang media di La Paz. – AFP, 13 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen