Laporan isu iktiraf UEC sedang disiapkan, kata pengerusi j/kuasa


Sheridan Mahavera Angie Tan

Pengerusi Pasukan Petugas Dasar UEC Eddin Khoo mengulas perkembangan laporan isu UEC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2020.

TUGAS menyiapkan laporan berhubung isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) masih berjalan, kata  ketua jawatankuasa petugas khas selepas perkembangan laporan itu tergendala ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Eddin Khoo yang mengetuai jawatankuasa itu berkata pihaknya sudah menyiapkan tugasan pada 29 Februari lalu dan bersedia untuk menulis laporan apabila PKP dilaksanakan pada 18 Mac bagi menangani pandemik Covid-19.

Tugas menyiapkan laporan itu tergendala sepanjang tempoh PKP dan hanya bersambung pada akhir Julai dan awal Ogos, kata Khoo kepada The Malaysian Insight.

“Kita perlu melalui pelbagai proses dalaman dan saluran terlebih dahulu sebelum menghantar laporan itu kepada Kabinet,” kata Khoo.

Beliau enggan menyatakan tempoh proses itu akan selesai tetapi menekankan bahawa ia masih berjalan.

Objektif jawatankuasa itu adalah untuk menilai sama ada kerajaan perlu mengiktiraf UEC, peperiksaan utama yang digunakan sekolah menengah vernakular swasta Cina.

Sijil itu yang menyamai taraf Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) diiktiraf kebanyakan universiti di seluruh dunia termasuk di Britain dan Amerika Syarikat.

Kumpulan pendidikan Cina berkempen selama puluhan tahun untuk mendapat pengiktirafan kerajaan terhadap UEC.

Pada 2015, Sarawak menjadi negeri pertama mengiktiraf sijil itu, sekali gus membenarkan pemegang sijil itu bekerja dalam perkhidmatan awam dan belajar di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Kemudian Pulau Pinang, Selangor dan Melaka turut mengikut langkah sama yang dilakukan Sarawak.

Apabila Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), mereka membentuk petugas khas untuk menilai isu pengiktirafan UEC.

Jawatankuasa Dasar UEC itu diwakili Khoo, Timbalan Presiden Persatuan Jawatankuasa Gabungan Sekolah Cina (Dong Zong), Tan Yew Sing dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Mohamad Raimi Abdul Rahim.

Jawatankuasa itu mengadakan 60 sesi dialog secara tertutup dengan kumpulan pendidikan, pertubuhan sivil dan parti politik serta sedang menyediakan laporan ketika kerajaan Pakatan tumbang pada 24 Februari.  – 9 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen