Kementerian Pendidikan belum terima laporan UEC, kata Maszlee


Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata beliau sentiasa berkomunikasi dengan pihak jawatankuasa bagi mendapatkan perkembangan laporan daripada Jawatankuasa Khas Peperiksaan Bersepadu Sekolah Persendirian Cina. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2019.

KEMENTERIAN Pendidikan masih belum menerima laporan daripada Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang sepatutnya diserahkan pada hujung Oktober lalu.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata beliau sentiasa berkomunikasi dengan pihak pasukan petugas itu bagi mendapatkan perkembangan laporan tersebut.

Jelasnya, pasukan petugas tersebut memaklumkan bahawa mereka sudah selesai mengadakan pertemuan dengan semua pihak berkepentingan dan sedang dalam proses membuat laporan akhir sebelum diserahkan kepada kementerian.

“Saya sentiasa berkomunikasi dengan mereka dan mereka sedang sedaya upaya menyiapkan laporan akhir.

“Mereka sedaya upaya berjumpa dengan seramai mungkin pihak berkepentingan dengan jumlah tenaga kerja yang kecil,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Pasukan yang dipengerusikan oleh Eddin Khoo itu menunda tarikh serahan laporan sebelum ini kerana mahu mendapatkan input tambahan daripada ahli-ahli Parlimen.

Pasukan petugas tiga anggota ini dibentuk atas arahan Jemaah Menteri pada akhir Oktober 2018 dengan mandat menyiapkan laporan mengenai UEC dan rumusannya kepada Kementerian Pendidikan dalam tempoh enam bulan.

Laporan ini sepatutnya diserahkan pada akhir Ogos, tetapi dilanjutkan sehingga akhir September.

Awal Oktober lalu Eddin meminta lanjutan masa sehingga akhir bulan kerana mahu mendapatkan pandangan ahli Parlimen.

Eddin mempengerusikan pasukan petugas yang dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahim dan Timbalan Presiden Dong Zong, Tan Yew Sin.

Maszlee sebelum ini memaklumkan laporan tersebut akan dibawa ke Kabinet dan keputusan sama ada mengiktiraf UEC atau tidak akan diumumkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Di bawah pentadbiran Najib Razak, kerajaan memperkenalkan Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 yang membenarkan universiti asing menubuhkan cawangan di negara ini, sekali gus membuka peluang pendidikan lebih luas kepada rakyat dan cuba menjadikan Malaysia hab pendidikan serantau.

UEC, yang diperjuangkan pengiktirafannya oleh badan pendidikan Cina sejak 1970-an, kemudian diiktiraf sebagai syarat kelayakan masuk ke universiti swasta di Malaysia pada 2004.

Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu berjanji akan mengiktiraf UEC, sama seperti yang dijanjikan oleh Barisan Nasional.

Enam bulan selepas menang pilihan raya umum, Putrajaya membentuk pasukan petugas ini untuk membantunya membuat keputusan dengan beberapa syarat umum yang sama.

Sabah menjadi negeri kelima mengiktiraf UEC untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan sektor awam di negeri itu. Selain Sabah, negeri lain yang mengiktiraf UEC ialah Pulau Pinang, Selangor, Melaka, dan Sarawak. – 7 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen