Laporan kaji UEC sikit lagi hendak siap, kata Eddin Khoo


Noor Azam Shairi Yeoh Cheong Ee

Jelas Eddin, isu UEC perlu dilihat dalam konteks sejarah dan masa depan pendidikan Malaysia yang jujur dan menyeluruh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Oktober, 2019.

PASUKAN Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) meminta sedikit lagi masa untuk melengkapkan laporan penuh penilaiannya yang akan digunakan oleh Putrajaya untuk menentukan kedudukan peperiksaan itu dalam sistem pendidikan Malaysia, kata pengerusinya Eddin Khoo.

Pasukan tiga anggota itu mahu mendapatkan pandangan ahli Parlimen sebelum menyiapkan laporan dan rumusan mereka, yang kini tinggal tinggal lebih kurang 20% untuk siap, katanya.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Eddin berkata isu yang sedang mereka teliti bukan melibatkan soal pengiktirafan UEC semata-mata tetapi jauh daripada itu, turut menyentuh isu lain dalam sistem pendidikan.

“Ini bukan hanya mengenai UEC tetapi ini juga tentang masalah masyarakat.

“Ini bukan hanya isu kaum Cina atau Melayu. Ini isu pendidikan Malaysia,” katanya, ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam.

Pasukan petugas dasar UEC sedang cuba mengatur pertemuan dengan ahli Parlimen pada 16 Oktober ini, dan Eddin berharap akan dapat menyiapkan laporannya sebelum akhir bulan ini.

Eddin mempengerusikan pasukan petugas yang dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahim dan Timbalan Presiden Dong Zong, Tan Yew Sin.

Mereka sebelum ini dijadual menyerahkan laporannya kepada Kementerian Pendidikan pada akhir Ogos lalu tetapi dianjak kepada hujung September.

Pendidikan vernakluar terus menjadi isu perpaduan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2019.

Konteks sejarah

Jelas Eddin, isu UEC perlu dilihat dalam konteks sejarah dan masa depan pendidikan Malaysia yang jujur dan menyeluruh.

“Mandat kepada kami ialah mengemukakan syor kepada Kementerian Pendidikan berhubung pengitirafan UEC.

“Namun isu UEC tidak boleh dipisahkan daripada konteksnya yang sebenar,” katanya.

Jelas beliau, semasa mendengar pandangan pelbagai pihak mengenai isu, pasukan petugas itu mengesan pelbagai isu yang relevan dengan pendidikan Malaysia.

“Misalnya, yang paling ketara, yang kita dengar daripada hampir semua pihak, tentang rasa tidak puas hati terhadap sistem pendidikan kebangsaan, iaitu kenapa orang tidak menjadikan sekolah kebangsaan pilihan utama.

“Mereka cenderung memilih sekolah persendirian atau antarabangsa,” katanya.

UEC ialah sistem peperiksaan yang dipakai di sekolah menengah persendirian aliran Mandarin sejak 1975, selepas mereka enggan menukar aliran kepada Bahasa Inggeris dan diserap ke dalam sistem pendidikan kebangsaan pada akhir dekad 1960-an.

Menurut Eddin, setakat ini pihaknya sudah mendengar pandangan daripada 72 pihak tentang UEC. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 Oktober, 2019.

Pada masa ini ada 62 sekolah menengah persendirian Cina di Malaysia, dengan satu pertiga daripadanya di Sabah dan Sarawak.

Eddin berkata, selepas 40 tahun berada di luar sistem, adalah wajar UEC diteliti dengan mendalam, dengan memahami konteks sejarah dan latar belakangnya setelah ia meminta untuk diserap ke dalam sistem kebangsaan yang ditolaknya dahulu.

Melihat UEC dalam konteks sejarah juga akan menjernihkan perbincangan daripada dicemar sentimen politik, yang adakalanya keterlaluan, tambah beliau.

150 jam perbincangan

Menurut Eddin, setakat ini pihaknya sudah mendengar pandangan daripada 72 pihak mewakili orang perseorangan, parti politik, ahli pendidikan, dan badan masyarakat, merentas kaum, kelas dan generasi, tua dan muda.

Laporan yang akan dikemukakan kepada kerajaan nanti adalah sebuah laporan bertulis yang lengkap, termasuk transkripsi perbincangan mereka dengan 72 pihak itu, jelasnya.

Pasukan petugas itu dibantu empat pegawai yang sedang sibuk menyalin perbincangan yang dianggarkan memakan masa keseluruhan lebih kurang 150 jam.

Isu UEC sudah menjadi isu masyarakat, bukan lagi isu pendidikan.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2019.

Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum yang lalu berjanji akan mengiktiraf UEC, sama seperti yang dijanjikan oleh Barisan Nasional.

Minggu lalu, Sabah menjadi negeri kelima mengiktiraf UEC untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan sektor awam di negeri itu.

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal bagaimanapun berkata untuk kemasukan ke pengajian tinggi, pemegang UEC mesti lulus Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lulus Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

Untuk menyertai sektor awam negeri pula, mereka perlu ada kelayakan seperti yang ditetapkan di bawah peraturan perkhidmatan awam, katanya.

Selain Sabah, negeri yang telah mengiktiraf UEC ialah Pulau Pinang, Selangor, Melaka, dan Sarawak. – 3 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen