Pasukan petugas dasar UEC mahu jumpa Najib Razak


Noor Azam Shairi Yeoh Cheong Ee

Pengerusi Pasukan Petugas Dasar UEC Eddin Khoo berkata, pihaknya mahu tahu apa konteks pendidikan yang membuatkan Najib Razak mahu mengiktiraf UEC sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Oktober, 2019.

PASUKAN Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) mahu mendapatkan pandangan Najib Razak mengenai sistem peperiksaan sekolah persendirian Cina sebelum mereka menyiapkan laporan lengkap kepada kerajaan, kata pengerusinya Eddin Khoo.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, Eddin berkata sebagai bekas menteri pendidikan, Najib cukup berpengaruh kepada sistem pendidikan kebangsaan.

Mereka mahu mendengar fikiran Najib kerana beliau adalah menteri pendidikan semasa era penting yang membuka dasar pendidikan Malaysia kepada sistem swasta dan antarabangsa.

Najib juga, semasa jadi perdana menteri, pernah bercadang mengiktiraf UEC, menjelang pilihan raya umum pada 2013 dan 2018.

“Kita hendak tahu apa konteks pendidikan yang membuatkan beliau mahu mengiktiraf UEC.

“Kita mahu apakah penilaian yang dibuat oleh pentadbirannya sehingga membawa kepada cadangan itu,” kata Eddin, dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.

Eddin mempengerusikan pasukan petugas yang dianggotai Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahim dan Timbalan Presiden Dong Zong, Tan Yew Sin.

Pasukan itu ditubuhkan oleh Putrajaya untuk membantu kerajaan memutuskan isu pengiktirafan UEC, yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya.

Najib Razak pernah bercadang mengiktiraf UEC, menjelang pilihan raya umum pada 2013 dan 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2019.

Mereka dilantik pada akhir Oktober 2018 untuk mengkaji kedudukan UEC dan membuat syor kepada Kementerian Pendidikan.

Semasa jadi menteri pendidikan antara 1995 dan 2000, Najib menggalakkan universiti awam menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di luar negara.

Di bawah pentadbirannya juga, kerajaan memperkenalkan Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 yang membenarkan universiti asing menubuhkan cawangan di negara ini, sekali gus membuka peluang pendidikan lebih luas kepada rakyat dan cuba menjadikan Malaysia hab pendidikan serantau.

UEC, yang diperjuangkan pengiktirafannya oleh badan pendidikan Cina sejak 1970-an, kemudian diiktiraf sebagai syarat kelayakan masuk ke universiti swasta di Malaysia pada 2004.

“Saya sebagai pengerusi pasukan petugas memang hendak sangat berbincang dengan Najib,” kata Eddin.

“Kita sudah berhubung dengan pejabat Najib dan kita faham beliau sibuk.”

Najib sedang dibicarakan di mahkamah atas puluhan tuduhan berhubung salah laku melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, sejak awal April lalu, dan kini atas dakwaan salah guna kuasa melibatkan syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Presiden MCA Wee Ka Siong sebelum ini mendedahkan Najib pernah menawarkan Dong Zong untuk mengiktiraf UEC sebagai syarat kelayakan masuk ke universiti awam namun ditolak oleh badan pendidikan Cina itu.

Lima tahun kemudian, dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Barisan Nasional yang dipimpin Najib memasukkan pengiktirafan UEC dalam manifestonya, sama seperti Pakatan Harapan.

Tiada kompromi bahasa kebangsaan

Sementara itu, Eddin berkata sudah lebih empat dekad isu UEC dan pendidikan Cina dibincangkan dengan penuh emosi sehingga gagal mencari keharmonian antara dua kutub pandangan yang berbeza mengenainya.

Pada satu sisi, pihak yang mendukung pendidikan Cina dan UEC menganggap pengecualian sijil itu dalam sistem pendidikan Malaysia menganaktirikan mereka yang juga rakyat negara ini.

Pada sisi lain, pihak yang menentang pengiktirafan UEC membangkitkan soal pendidikan sebagai alat perpaduan serta kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang harus dihormati.

Sudah lebih empat dekad isu UEC dan pendidikan Cina dibincangkan dengan penuh emosi sehingga gagal mencari keharmonian antara dua kutub pandangan yang berbeza mengenainya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2019.

Eddin berkata secara peribadi beliau tegas bahawa seharusnya tiada tolak ansur dalam soal isu bahasa kebangsaan.

“Saya tegas dalam hal ini. Tiada kompromi dalam isu bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan apakah laporan yang sedang pihak siapkan ada menyentuh soal bahasa kebangsaan.

Eddin berkata beliau tidak dapat – dan tidak akan – mendedahkan kandungan laporan atau rumusan pasukan petugas sebelum diserahkan kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Biarpun begitu, beliau setuju dengan pandangan banyak pihak bahawa Bahasa Melayu belum cukup siap sebagai bahasa ilmu, di tengah arus kemajuan ilmu pengetahuan dunia.

Dalam pada itu, Eddin mengingatkan bahawa isu UEC harus dilihat dari perspektif yang luas, termasuk falsafah dan masa depan pendidikan negara.

“Tidak ada yang kalah atau menang dalam isu ini,” katanya.

Pasukan petugas yang dibentuk dengan mandat Jemaah Menteri ini dijadual menyerahkan laporan dan rumusannya pada akhir Ogos, tetapi dilanjutkan sehingga akhir September.

Minggu ini, Eddin meminta lanjutan masa sehingga akhir Oktober kerana mahu mendapatkan pandangan ahli Parlimen. – 4 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen