Banyak masalah dalam silibus sekolah kebangsaan, kata petugas dasar UEC


Mohd Farhan Darwis

Pengerusi petugas dasar UEC, Eddin Khoo (tengah) berkata pihak yang diwawancara berpendapat silibus dan kurikulum pendidikan kebangsaan banyak masalah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 Oktober, 2019.

PEMEGANG taruh dalam isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) melihat banyak kelemahan besar dalam silibus sistem pendidikan kebangsaan, kata petugas khas kajian dasar itu, Eddin Khoo.

Katanya pihak yang diwawancara itu berpendapat silibus dan kurikulum berkenaan gagal kerana sentiasa berubah.

“Tanggapan kegagalan sistem pendidikan kebangsaan. Silibus dan kurikulum. Setiap kali ada menteri pendidikan baharu akan ada polisi baharu.

“Itu persamaan yang ditemui, hampir semua telah bersetuju itu merupakan satu masalah,” kata Khoo kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Selain itu, kebanyakan generasi muda yang diwawancara juga berpendapat mereka tidak dapat menguasai bahasa ibunda melalui sistem pendidikan sedia ada di sekolah kebangsaan.

“Terdapat keinginan mendalam generasi muda Melayu mempelajari bahasa Cina, dan generasi muda Cina mahu berinteraksi dengan lebih mendalam dengan Bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata, daripada 72 sesi wawancara ke atas lebih 500 responden mendapati, kebanyakannya menuntut perubahan keseluruhan sistem pendidikan kebangsaan.

“Mereka mahu sistem berubah dan menjadi lebih inklusif. Antara cadangan yang menarik adalah pelajaran bahasa, kenapa tidak dipelbagaikan,” katanya.

“Ini bukan isu pertaruhan, kita ini harus memahami aspek rundingan dan sebagainya sangat penting untuk selesaikan atau memuncak ke satu tahap di mana isu yang dianggap membakar itu dapat diselesaikan dengan cara ya g matang dan ilmiah,” katanya.

Khoo berkata, laporan akhir berkenaan kajian tersebut akan diselesaikan pada hujung bulan apabila selesai sesi melibatkan ahli Parlimen yang akan dijalankan pada 16 Oktober.

Beliau juga memberi jaminan akan memastikan laporan berkenaan UEC itu akan didedahkan kepada umum.

Namun, Eddin turut menambah, pasukan petugas khas itu tiada kuasa untuk menggesa kerajaan mengguna pakai saranan dan syor mereka.

“Kita adalah jawatankuasa hasil pencarian dan memberi cadangan. Keputusan setiap negeri atau kerajaan pun terpulang kepada kerajaan.

“Setiap negeri tertentu kalau mereka ingin mewujudkan keputusan atau kendalikan keputusan mereka terpulang kepada mereka.

“Tetapi kami dah buat kajian dan bila cadangan kita ditampilkan kepada kerajaan kita harap semua pihak akan ambil kira cadangan kita,” katanya.

Seorang lagi petugas kajian itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Mohamad Raimi Ab Rahim berkata mereka mendapat responden berharap UEC dapat mengukuhkan perpaduan kaum.

“Secara umumnya semua pihak terlibat mahu isu ini mengambil kira perspektif perpaduan dan isu ini tidak memecahkan perpaduan.

“Soalnya bagaimana kita harus bergerak ke hadapan menangani isu yang berlangsung sejak sekian lama,” katanya.

Turut menganggotai pasukan petugas itu adalah Timbalan Presiden Dong Zong, Tan Yew Sin.

Lima negeri setakat ini sudah mengiktiraf UEC, iaitu Selangor, Melaka, Sabah, Sarawak, dan Pulau Pinang. – 4 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen