Suhakam sokong undang-undang anti lompat parti


KERAJAAN perlu menggubal undang-undang anti lompat parti demi melindungi hak rakyat terbanyak yang memilih wakil mereka ke Parlimen atau dewan undangan negeri (DUN), kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Suhakam menyatakan sokongannya kepada gesaan penggubalan akta itu selepas Putrajaya baru-baru ini mengumumkan belum bercadang untuk berbuat demikian.

Suhakam dalam satu kenyataan hari ini berpendapat undang-undang itu tidak bertentangan dengan hak lain dalam perlembagaan, khususnya kebebasan berpersatuan.

Hak kebebasan berpersatuan itu tidak lebih penting daripada hak rakyat untuk mengundi memilih wakil mereka untuk menjadi sebahagian daripada anggota sistem pentadbiran kerajaan, kata badan itu.

“Rakyat telah membuat pilihan bagi memberikan kuasa kepada mereka untuk membentuk kerajaan. 

“Oleh yang demikian, sekiranya wakil yang dipilih memilih untuk berpindah ke parti yang lain oleh kerana menjalankan hak berpersatuan, hak orang ramai untuk mengundi dan memilih wakil perlu dilaksanakan sejurus selepas itu,” kata Suhakam dalam kenyataannya.

Dalam kenyataan itu, Suhakam turut merakamkan rasa kurang senang melihat tindakan wakil rakyat melompat parti berleluasa dan disokong “tanpa rasa malu”, setelah proses pilihan raya yang menelan belanja tinggi.

Jelas Suhakam, parti politik perlu dikawal oleh undang-undang dan peraturan yang berasingan daripada persatuan lain. 

“Undang-undang “Anti Lompat Parti” perlu digubal bagi menjamin kestabilan politik dan menamatkan kebebasan mereka daripada menerima hukuman daripada penipuan pengundian, dalam masa yang sama mengukuhkan demokrasi dan melindungi hak warganegaranya. 

“Ahli Parlimen dan Adun dipilih untuk mewakili suara pengundi, sehubungan itu, mereka seharusnya memperjuangkan keperluan dan pandangan rakyat dan bukan sebaliknya,” kata Suhakam.

Undang-undang seumpama itu, jelas Suhakam, perlu untuk menghentikan tindakan tidak berkesudahan Ahli Parlimen dan Adun yang bertukar parti mengikut kehendak peribadi dan agenda politik mereka.

Pada 13 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat kerajaan tidak cenderung untuk menggubal undang-undang anti lompat parti.

Beliau yang menjaga portfolio undang-undang dan Parlimen berkata kerajaan pada masa ini berpendapat setiap warganegara dijamin hak mereka bebas berpersatuan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Agung (sekarang Mahkamah Persekutuan) dalam satu kes pada 1992 juga memutuskan undang-undang sedemikian bercanggah dengan prinsip kebebasan yang sama.

Setakat ini hanya Pulau Pinang mempunyai undang-undang mensyaratkan mana-mana wakil rakyat negeri yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusi yang mereka menangi dalam pilihan raya, yang diluluskan pada 2012. – 6 Ogos, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen