Bagaimana tindakan lompat parti boleh runtuhkan kerajaan


Chan Kok Leong

Pada Februari, Muhyiddin Yassin membawa keluar partinya Bersatu, daripada kerajaan PH dan bergabung dengan Umno dan PAS membentuk Perikatan Nasional, dan kemudian dilantik sebagai perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2020.

PENGUNDI berang apabila ahli politik yang diundi pada pilihan raya umum 2018 melompat parti seperti katak untuk mengubah keseimbangan kuasa dan kerajaan negeri sejak “Langkah Sheraton” kira-kira dua bulan lalu.

Pada Februari, Muhyiddin Yassin membawa keluar partinya Bersatu, daripada kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH), meruntuhkan pakatan itu dan kemudiannya menubuhkan pakatan lain bersama bekas musuhnya, Umno dan PAS, dan dalam proses itu, beliau akhirnya menjadi perdana menteri.

Helah ini semua berlaku kerana tiada undang-undang yang menyekat ahli politik daripada bertukar parti pada bila-bila masa pun, walaupun pelbagai janji dan ikrar dibuat ketika pilihan raya.

Tindakan seumpama ini kali pertama mendapat perhatian pada 1992, ketika hakim mahkamah agung Eusoff Chin memutuskan undang-undang lompat parti Kelantan tidak konsisten dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan, berkaitan dengan kebebasan berpersatuan.

Sejak itu, 11 ahli Parlimen dan 11 Adun, sama ada meletak jawatan atau keluar parti untuk menjatuhkan satu kerajaan persekutuan dan lima kerajaan negeri, dengan Perak mengalami keadaan itu sebanyak dua kali, iaitu 2009 dan sekali lagi pada tahun ini.

Undang-undang anti lompar parti Kelantan pada 1990 mensyaratkan wakil rakyat yang dipilih mengosongkan kerusi jika mereka meletak jawatan atau dibuang daripada parti bagi mengelak Adun mencetuskan gangguan terhadap kerajaan negeri sedia ada.

Dalam kes yang diputuskan oleh Eusoff, Nordin Salleh (Sg Pinang) dan Wan Mohamed Najib Wan Mohamad (Limbongan) menang kerusi mereka atas tiket Semangat 46 pada pilihan raya umum 1990, tetapi kemudian lompat parti ke Umno pada tahun berikutnya.

Walaupun tindakan lompat parti itu tidak menyebabkan perubahan dalam kerajaan negeri, Kelantan kemudian meminda undang-undangnya untuk memasukkan klausa anti lompat parti, yang kemudian dikuatkuasakan pada 18 November, 1990.

Kerajaan PH runtuh apabila Langkah Sheraton berlaku yang menyaksikan Bersatu keluar pakatan itu, bersama sekumpulan ahli Parlimen PKR dan bergabung dengan Umno dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2020.

Speaker pada masa itu, mengisytiharkan dua kerusi berkenaan kosong, dan kedua-dua Adun itu diarahkan bertanding sekali lagi untuk kerusi itu, tetapi kemudian tewas. Mereka kemudian memfailkan kes itu ke mahkamah, yang membawa kepada keputusan dibuat oleh Eusoff.

Berikut ialah senarai wakil rakyat yang keluar parti, meletak jawatan atau mengubah sokongan politik mereka yang akhirnya menyebabkan kejatuhan kerajaan di Malaysia:

Perak (2009)

Negeri ini menjadi kerajaan negeri pertama yang runtuh hanya selepas setahun memegang kuasa apabila tiga Adun keluar parti.

Keruntuhan bermula apabila wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Nasarudin Hashim (Bota) mengumumkan beliau bertukar ke PKR pada Februari. Pada masa itu, pentadbiran negeri Pakatan Rakyat (PR) diketuai oleh Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS).

Tetapi sebelum PKR dapat meraikannya, Nasarudin kembali ke BN, dan belum sempat PR bertindak, tiga lagi wakil rakyat meletak jawatan daripada parti masing-masing untuk menyokong BN sebagai kerajaan negeri.

Mereka ialah timbalan speaker Hee Yit Foong (Jelapang) daripada DAP, exco PKR Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Osman Jailu (Changkat Jering).

Tindakan mereka membolehkan BN menawan semula negeri itu dengan 28 Adun dan tiga Adun bebas yang mesra BN, berbanding 28 Adun PKR.

Sebelum peletakan jawatan Adun berkenaan, PR mentadbir negeri itu dengan 32 wakil rakyat berbanding 27 BN dalam DUN yang terdiri daripada 59 kerusi itu.

Ketiga-tiga Adun terbabit sejak itu mula pudar daripada arena politik tempatan. – 13 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen