Program Dwibahasa kekal, kata timbalan menteri


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

KPM tidak bercadang untuk memperkenalkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2020.

KEMENTERIAN Pendidikan akan meneruskan Program Dwibahasa (DLP) dan tidak bercadang untuk memperkenalkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kata timbalan menterinya Mah Hang Soon. 

“Kementerian Pendidikan tidak berhasrat untuk memperkenalkan semula PPSMI. 

“Di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), program DLP telah diperkenalkan mulai 2016 dengan memberi pilihan kepada pihak sekolah untuk melaksanakan PPSMI,” kata Mah pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

DLP katanya melibatkan 377 sekolah ketika mula diperkenalkan pada 2016 dan meningkat kepada 2,291 tahun ini, tambah beliau.

KPM juga katanya dalam usaha menambah baik pendidikan Bahasa Inggeris bagi meningkatkan penguasaan guru dan murid untuk keperluan akan datang.

Menurut Mah kerajaan ketika ini menekankan program DLP.

“Kalau ada sekolah yang memilih pengajaran dan pembelajaran dalam DLP, kita akan benarkan ia diteruskan.”

Mah menjawab soalan diajukan Hasan Arifin (Rompin-BN) yang memetik kajian bahawa murid lebih mudah murid lebih mudah menerima ilmu dengan menggunakan bahasa ibunda.

Hasan juga ingin mengetahui apakah kerajaan menyedari terdapat sekolah di bandar bandar mengajar dalam Bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Adakah kerajaan sedar ini masih berlaku dan apakah tindakan yang akan diambil. – 3 Ogos, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen