Teo patut dipecat atas kontroversi PPSMI, kata pensyarah


Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching sudahpun berjanji pada November 2018 untuk membentang laporan DLP pada Januari 2019, kata seorag pensyarah UUM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2020.

SEORANG pensyarah menuntut Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dipecat atas kontroversi yang masih berlarutan dalam isu bahasa pengantar bagi pengajaran Sains dan Matematik.

Pensyarah Universiti Utara Malaysia Kamarul Zaman Yusof menegaskan Teo patut dipecat kerana masih belum membentang laporan kajian impak dasar tersebut dan program gantiannya.

Katanya, Teo dan DAP kini membangkitkan semula mengenai Dual Language Programme (DLP) bagi menggantikan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Walhal, kajian berkenaan belum dibentangkan seperti dijanjikan Teo, kata Kamarul dalam satu kenyataan.

“Bukan sahaja laporan kajian terperinci pelaksanaan semula PPSMI ini yang gagal dikeluarkan oleh KPM, malah lebih teruk lagi, Teo Nie Ching juga gagal menunaikan janji untuk membentangkan kajian impak DLP yang lebih komprehensif pada Januari 2019,” katanya.

Kamarul berkata, Teo sudahpun berjanji pada November 2018 untuk membentang laporan DLP pada Januari 2019.

Katanya, janji itu dibuat oleh Teo di Parlimen ketika menjawab soalan Ahli Parlimen BN Parit Sulong Noraini Ahmad.

Beliau menambah, Teo memberikan jawapan bahawa dapatan kajian DLP akan diperoleh dan dibentangkan pada Januari 2019.

Kamarul membangkitkan demikian bagi menjawab kenyataan pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung parti itu Lim Guan Eng bahawa DLP akan diperkasa sebagai alternatif PPSMI.

“Begitupun, bagaimana kita boleh tahu keberkesanan DLP bila laporan kajian impaknya tiada?” soalnya lagi.

Kemelut mengenai PPSMI kembali timbul apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pengajaran kedua-dua mata pelajaran itu akan ditumpukan dalam Bahasa Inggeris.

Walaupun beliau tidak menyebut mengenai PPSMI secara khusus, pemangku menteri pendidikan itu bertanggungjawa memperkenalkan dasar berkenaan sewaktu menjadi perdana menteri keempat.

Dasar yang diperkenal pada 2003 itu diwajibkan di semua sekolah termasuk sekolah vernakular.

PPSMI dimansuhkan pada 2012 apabila pelaksanaannya didapati lemah, termasuk masalah guru tidak mahir dalam Bahasa Inggeris dan jurang prestasi yang luas antara pelajar bandar dan luar bandar.

Pemansuhan itu juga dibuat ekoran kecaman pelbagai NGO dan parti politik, termasuk dari Umno yang menguasai kerajaan waktu itu.

Pengumuman terbaru Dr Mahathir pada minggu lalu mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada pejuang Bahasa Melayu.

Beberapa penganalisis juga beranggapan, PPSMI boleh menyebabkan Pakatan Harapan akan kalah pada pilihan raya akan datang. – 3 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ppsmi blm diputuskan olh kabinet ... bawak rilek .. zaman ni sape2 blh beri pandangan ....

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Mohd Hashim Che Ni · Ulasan