PPSMI boleh jadi punca Pakatan kalah PRU15, kata penganalisis


Sheridan Mahavera

PPSMI sebelum ini dimansuhkan kerana ia tidak popular di kalangan ibu bapa, pendidik dan pentadbir sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari 2020.

PAKATAN Harapan (PH) akan menyaksikan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika kerajaan sekali lagi mewajibkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah, kata penganalisis.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga pemangku jawatan menteri pendidikan, baru-baru ini berkata lebih banyak tumpuan akan diberikan kepada pengajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris.

Walaupun beliau tidak secara khusus menyebut mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), ucapannya mengingatkan sebuah dasar pendidikan kontroversi ketika beliau menjadi perdana menteri pada 2003, yang diwajibkan bagi semua sekolah, termasuk sekolah vernakular.

Ia kemudian dimansuhkan beberapa tahun kemudian selepas didapati pelaksanaannya lemah, termasuk masalah guru yang tidak mahir dalam bahasa Inggeris, dan pelajar di kawasan luar bandar yang ketinggalan jauh di belakang rakan mereka di kawasan bandar.

Penentang terbesar PPSMI juga kini menjadi anggota kanan Kabinet ketika ini, dan merupakan pemimpin parti yang membentuk gabungan parti pemerintah, kata penganalisis.

Penyelidik Ilham Centre, Mohd Azlan Zainal menyifatkan idea itu sebagai “memberikan peluru dan senjata” kepada pembangkang untuk menyerang PH. 

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Mazlan Ali pula mengatakan dasar tersebut dimansuhkan kerana ia tidak popular di kalangan ibu bapa, pendidik dan pentadbir sekolah. 

Kajian dan laporan menunjukkan prestasi pelajar dalam Sains dan Matematik menurun apabila mereka dipaksa belajar dalam bahasa Inggeris, kata Mazlan lagi.

“Jika sesuatu seperti PPSMI dibawa kembali, ia akan mencetuskan politik polemik yang lebih sengit daripada kontroversi Jawi,” katanya, merujuk kepada langkah Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah vernakular.

“Isu ini akan menjadi lebih besar dan merangkumi semua masyarakat, bukan hanya kaum Cina dan India. Melayu, Cina dan India akan menolaknya.

“Akan ada tsunami politik 100% menentang PH dalam PRU15,” kata Mazlan.

Kenyataan Dr Mahathir mengenai memberi lebih tumpuan kepada pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggerisdijadikan perbincangan pertamanya sebagai menteri pendidikan dengan pegawai kementerian baru-baru ini.

Beliau memberitahu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris harus diberi penakanan yang lebih tinggi dalam mesyuaratnya.

Video mengenai ucapannya semasa mesyuarat itu juga turut dikongsi di halaman Facebook beliau. – 2 Februari, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen