Ajar Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris langkah ke belakang, kata pengkritik 


Pemangku Menteri Pendidikan Dr Mahathir Mohamad menyatakan perkara itu ketika menggariskan hala tuju dasar pendidikan pada taklimat kepada pegawai kanan Kementerian Pendidikan, kelmarin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2020.

LANGKAH Dr Mahathir Mohamad untuk memfokuskan kepada pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin PKR.

Menurut mereka, cadangan untuk mengembalikan dasar “gagal” era Barisan Nasional adalah langkah ke belakang, dan mendakwa langkah untuk kitar semula dasar hanya menunjukkan Pakatan Harapan ketandusan idea baharu.

“Saya kira jika dasar ini dilaksanakan kembali, ia bukan sahaja menunjukkan kegagalan kerajaan untuk tampil dengan dasar yang segar dan baharu. Malah merupakan langkah mundur ke belakang dalam pembangunan negara ini, kata Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin.

Beliau turut membidas ahli politik yang terus mengabaikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan.

“Mereka menganggap pula Bahasa Melayu sebagai bahasa mundur dan bukan medium yang sesuai untuk menjadi bangsa maju.

“Sebenarnya, hanya bangsa yang lemah akan memandang rendah dan tidak yakin dengan kemampuan bahasa ibundanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Bekas menteri besar Johor itu juga berkata, bahasa bukan kayu ukur untuk meningkatkan Sains dan teknologi, dan menambah apa yang diperlukan adalah budaya penerokaan, komitmen kepada kemajuan ilmu dan pelaburan yang bersungguh-sungguh untuk membangunkan masyarakat saintifik.

“Sains dan teknologi adalah ‘language neutral’. Malah, tidak ada bahasa yang boleh mendakwa ia adalah bahasa Sains, apatah lagi bahasa Matematik,” katanya.

Semenara itu, Angkata Belia Islam Malaysia berkata, cadangan Dr Mahathir bertentangan dengan banyak kajian dan kertas akademik yang menunjukkan dasar itu gagal apabila ia mula diperkenal.

“Ini jelas apabila keputusan UPSR pada tahun 2008 menunjukkan 170,000 pelajar gagal dalam kedua-dua mata pelajaran Sains dan Matematik.

“Malah, peratusan pelajar ke aliran Sains juga menurun,” kata Setiausaha Agung Abim Mohammad Fazril Mohd Saleh.

Menurutnya, kerajaan perlu bincangkan dengan majlis pimpinan PH sebelum membuat sebarang keputusan.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PKR Mohd Najwan Halim berkata, Kabinet perlu menolak cadangan Dr Mahathir dan menambah pengenalan semula dasar itu tidak pernah dinyatakan dalam janji pilihan raya PH.

“Kerajaan juga wajar mengambil ketetapan bahawa semua dasar utama perlulah melalui perbincangan menerusi mesyuarat kabinet sebelum dikemukakan untuk wacana umum.

“Perlawanan kepada dasar bahasa Inggeris untuk pembelajaran sains dan matematik yang pernah disaksikan di era kerajaan Barisan Nasional adalah beban yang tidak perlu kepada kerajaan Pakatan Harapan di era Malaysia baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Malam tadi, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkembangan terbaharu itu akan dibincangkan dalam mesyuarat parti. Dalam masa yang sama, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata ia terpulang kepada Kabinet untuk berbincang dan membuat keputusan.

Semalam, Dr Mahathir yang merupakan pemangku menteri pendidikan berkata, fokus akan diberikan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Mata pelajaran Sains dan Matematik bukan bidang pengetahuan peribumi,” kata pemangku menteri pendidikan itu semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas bersama Kumpulan Pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya.

“Mata pelajaran ini datang dari luar negara dan kebanyakannya datang kepada kita dalam Bahasa Inggeris. Oleh itu, kita akan menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik.”

Taklimat Dr Mahathir kepada pegawai Kementerian Pendidikan turut dimuat naik di halaman Facebook beliau.

Ketika ini, mata pelajaran Sains dan Matematik di beberapa sekolah diajar dalam Bahasa Inggeris di bawah Program Dwibahasa (DLP).

PPSMI diperkenalkan pada 2002 semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri keempat dan mendapat bantahan daripada penyokong sekolah vernakular, pendidik dan ibu bapa.

Objektif dasar tersebut adalah untuk menangani kemerosotan kemahiran murid dalam Bahasa Inggeris, terutamanya murid Melayu. PPSMI dimansuhkan pada 2008 semasa di bawah pentadbiran Najib Razak. – 1 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen