Ajar Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris kini lebih mudah, kata kumpulan pendidikan 


Sheridan Mahavera

Pengerusi PAGE Azimah Abdul Rahim berkata dengan bantuan gajet dan teknologi 5G, pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kini lebih mudah berbanding 10 tahun lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2020.

MENGAJAR subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kini lebih mudah berbanding 10 tahun lalu kerana penggunaan teknologi yang meluas, kata kumpulan pendidikan PAGE.

Lebih ramai guru yang boleh mengajar kedua-dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris berbanding ketika dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mula diperkenalkan pada 2003, kata Pengerusi PAGE Azimah Abdul Rahim.

PAGE mengulas berhubung kenyataan pemangku Menteri Pendidikan Dr Mahathir Mohamad yang mahu memfokuskan pengajaran Sains dan Matematik dala bahasa Inggeris.

Mengakui bahawa akan wujud bantahan berhubung kenyataan Dr Mahathir itu, beliau Azimah merasakan beliau hanya cuba untuk mengatasi kekurangan ahli sains dan jurutera di negara ini.

Selain itu, semakin sukar untuk mengikuti perkembangan terbaru sains dan teknologi dalam bahasa Melayu kerana negara tidak mempunyai kapasiti untuk menterjemahkan buku rujukan, kata Azimah.

“Kadar perubahan teknologi adalah begitu pantas sehingga apabila anda menterjemahkan sesuatu ke dalam bahasa Melayu, ia menjadi ketinggalan zaman. Jadi jawapannya adalah untuk belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam pertemuan pertamanya dengan pegawai Kementerian Pendidikan pada hari Rabu, Dr Mahathir berkata beliau mahu lebih banyak tumpuan mengajar kedua-dua mata pelajaran dalam bahasa Inggeris yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah tertentu melalui Program Dwibahasa (DLP).

Dr Mahathir tidak menyatakan sama ada beliau mengembalikan semula dasar PPSMI yang kontroversi namun tidak berfungsi, yang diwajibkan kepada semua sekolah kebangsaan dan vernakular.

PPSMI diperkenalkan pada tahun 2002 oleh Dr Mahathir. Ia terus dilaksanakan walaupun terdapat bantahan dari penyokong sekolah kebangsaan, pendidik dan ibu bapa.

Ia bagaimanapun dimansuhkan pada tahun 2009, ketika Najib Razak mengambil alih sebagai perdana menteri.

Pengumuman Dr Mahathir itu menarik bantahan daripada kumpulan penulis dan pendidik Melayu.

PENA, sebuah persatuan penulis bahasa Melayu, mengatakan bahawa kajian yang dilakukan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2009 menunjukkan bahawa PPSMI telah menyebabkan prestasi pelajar merudum 80% dalam kedua-dua subjek.

“Keputusan itu akan memberi impak buruk kepada anak-anak kita terutamanya di kawasan luar bandar dan kami menggesa Dr Mahathir untuk membatalkan idea itu,” kata presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

Bagaimanapun, PAGE menyangkal perkara itu dan menyatakan pelajar kini boleh belajar Sains dan Matematik dengan lebih mudah melalui penggunaan peranti mudah alih yang boleh mengakses pengajaran menggunakan 5G.

“Sekarang adalah lebih mudah berbanding sebelum ini, yang mana guru-guru lebih banyak digunakan sebagai fasilitator,” kata Azimah.

Halangan bahasa dapat diatasi kerana pelajaran telah direkodkan dan disampaikan menggunakan istilah bahasa Inggeris yang betul. Guru kemudian akan menjelaskan setiap konsep apabila perlu.

“Tetapi keputusan itu harus dipadankan dengan sokongan kepada guru untuk melakukan apa yang perlu dilakukan. Bagaimana ia akhirnya bergantung kepada sokongan yang kita berikan kepada guru untuk menjalankan tugas baik.” – 1 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen