Menteri baharu perlu beri tumpuan kepada sekolah kebangsaan


Ragananthini Vethasalam

Sekolah kebangsaan perlu menjadi pilihan pertama ibu bapa untuk pendidikan nasional negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2020.

MENTERI pendidikan yang baharu perlu menjadikan sekolah kebangsaan sekolah pilihan pertama ibu bapa, kata Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim.

Walaupun Dr Maszlee Malik, yang meletak jawatan berkuatkuasa 3 Januari lalu, sudah menambah baik akses pendidikan kepada pelajar miskin, terpinggir dan keperluan khas, masih tidak banyak yang dilakukan bagi mengukuhkan sistem pendidikan nasional negara yang sudah lama dikritik kerana kualiti pengajaran lemah dan kekerapan perubahan dasar.

“(Menteri pendidikan baharu) Perlu menjadikan sekolah kebangsaan sekolah pilihan pertama ibu bapa dengan meraikan pengajaran kurun ke-21 dan menjadikan pelajarnya lebih berdaya saing di peringkat global untuk mempersiapkan mereka dengan kerjaya yang masih belum wujud,” kata Noor Azimah apabila ditanya tentang calon pengganti Maszlee.

Sekolah kebangsaan sudah lama dikritik sebilangan ibu bapa yang merasakan ia mengalami proses Islamisasi dan peningkatan diskriminasi kaum dan agama yang makin bertambah.

Noor Azimah berkata bagi menjadikan harapan itu satu kenyataan, pertimbangan kaum dan agama perlu dihapuskan daripada keputusan dibuat sekolah kebangsaan.

Pendidikan agama pula dipertanggungjawabkan kepada negeri, tambahnya.

Beberapa kontroversi melanda sekolah kebangsaan sejak beberapa tahun lepas menimbulkan kebimbangan rakyat Malaysia tentang hala tuju sekolah kebangsaan termasuklah kes penggunaan cawan air berasingan untuk pelajar Islam dan bukan Islam serta kantin berasingan untuk pelajar berdasarkan agama mereka.

Noor Azimah berkata tumpuan sekolah kebangsaan sepatutnya diberikan kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem), menambah yang makmal sains sepatutnya dilengkapi dengan peralatan dan kemudahan terkini bagi kegunaan optimum pengajaran dan pembelajaran.

Pengajaran Bahasa Ingeris perlu diperkukuhkan dan program dwi bahasa, yang kini bersifat sukarela dan hanya wujud di sekolah tertentu perlu diperluaskan, tambahnya.

Satu lagi isu yang perlu diberi tumpuan menteri baharu adalah kualiti guru. Masalah seperti ponteng kerja dan pembangunan profesional berterusan guru perlu diberikan perhatian serius. – 6 Januari, 2020.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen